Selasa, 18 April 2017 | 6:27am

Anjung Kasih bantu ringan beban rakyat

Abdul Taib merasamikan Anjung Kasih @ Hospital Umum Sarawak sambil diperhatikan Raghad Kurdi, Rohani (kiri) dan Fatimah (dua dari kanan) di Kuching, semalam. - Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Kemudahan Anjung Kasih dapat membantu menjimatkan kos penginapan waris atau keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital kerajaan dengan purata penjimatan antara RM80 hingga RM100 sehari.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata pelaksanaan inisiatif itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau berkata, menginap di Anjung Kasih lebih menjimatkan berbanding jika waris atau keluarga pesakit tinggal di hotel bajet atau rumah tumpangan, malah pelbagai kemudahan lengkap turut disediakan.

"Anjung Kasih lebih berkonsepkan rumah transit atau tempat penginapan sementara bagi anggota keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital kerajaan. Hasil kaji selidik kita mendapati kemudahan ini dapat membantu waris pesakit melakukan penjimatan purata antara RM80 hingga RM100 sehari bagi kos penginapan.

"Ini satu lagi inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi meringankan beban rakyat, selain memenuhi keperluan mereka," katanya selepas menyaksikan perasmian Anjung Kasih @ Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, semalam, yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Yang hadir sama, isteri Abdul Taib, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.

Abdul Taib dan Raghad Kurdi melawat bilik rehat selepas perasmian Anjung [email protected] Hospital Umum Sarawak, semalam.

104 katil disediakan

Anjung Kasih @ HUS yang menyediakan 104 katil adalah kemudahan ketiga seumpamanya disediakan di negeri ini selepas Hospital Miri (31 katil) dan Hospital Sibu (64 katil).

Anjung Kasih juga turut disediakan di Hospital Selayang, Gombak; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Rohani berkata, selain menyediakan tempat berteduh yang selesa, Anjung Kasih juga menjadi lokasi waris mengurangkan beban psikologi jika ada anggota keluarga mereka menghidap penyakit kronik seperti kanser dan jantung.

"Keseluruhannya, 14 hospital kerajaan di seluruh negara berada dalam 'senarai menunggu' untuk kita menyediakan kemudahan ini. Malah, kementerian berharap kemudahan ini diperluaskan ke semua hospital kerajaan di seluruh negara.

Abdul Taib dan Ragad Kurdi beramah mesra dengan keluarga pesakit yang menggunakan kemudahan Anjung Kasih di HUS.

Dalam pekarangan hospital

"Anjung Kasih diwujudkan dalam pekarangan hospital dengan pengurusan sesebuah hospital menyediakan lokasi bersesuaian. Kemudian, barulah kementerian saya menimbangkan kelulusan kos penyediaan kemudahan ini membabitkan peruntukan antara RM1 juta hingga RM1.5 juta," katanya.

Justeru, beliau menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan terus menyumbang kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) supaya lebih banyak dana dapat dikumpulkan bagi penyediaan Anjung Kasih di seluruh negara.

"Untuk kebaikan pesakit dan keluarga mereka, semua hospital yang bakal dibina atau baru dibuka diminta menyediakan tapak khas bagi pembinaan Anjung Kasih pada masa depan," katanya.

Rohani berkata, Anjung Kasih akan diserahkan kepada pengurusan hospital untuk ditadbir urus, termasuk menanggung kos pengurusan, selain diberi kuasa sepenuhnya meluluskan kemasukan keluarga pesakit ke institusi berkenaan.

"Penubuhan lebih banyak Anjung Kasih penting bagi menjamin waris pesakit tidak tidur di ruang koridor sehingga berisiko menjejaskan kesihatan mereka.

"Kawasan persekitaran kurang bersih boleh menyebabkan mereka dijangkiti kuman, sekali gus mengakibatkan mereka pula yang sakit," katanya.

Beliau berkata, Anjung Kasih juga dikategorikan antara projek berpotensi tinggi menerusi Kajian Pencapaian 'Outcome Project' Pembangunan Jawatankuasa Kerja Penilaian Outcome (JKPO) 2016 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

"Justeru, pihak kementerian perlu kekal relevan dalam perubahan sosioekonomi terutama memberi kemudahan kepada golongan sasar. Kita akan mengamalkan lebih banyak pendekatan inovasi sosial bagi mencetuskan pembaharuan," katanya.

INFO:

  • 8 Anjung Kasih di seluruh negara

  • 14 hospital kerajaan dalam 'senarai menunggu' untuk penyediaan Anjung Kasih

  • RM80 - RM100 sehari kadar penjimatan kos penginapan.

  • 3 kemudahan Anjung Kasih Di Sarawak iaitu di Hospital Umum Sarawak, Kuching, Hospital Miri

    dan Hospital Sibu.

Berita Harian X