Selasa, 18 April 2017 | 11:53pm

Husniah masih ada misi selepas KL2017

ZAIDATUL Husniah Zulkifli. - Foto BERNAMA

SEPANG: Ratu pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, tidak menjadikan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) penamat bagi meraih pingat emas yang diburunya selama ini.

Sebaliknya, atlet berusia 24 tahun itu ingin terus menampilkan keputusan cemerlang pada temasya sukan berprestij lain seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Pada masa sama, Zaidatul gigih berlatih bagi membolehkannya memecahkan penantian pingat emas 100 meter wanita yang kali terakhir dimenangi G Shanti pada Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia.

"Saya perlukan masa lagi untuk menjadi lebih pantas dan bersaing di Sukan SEA nanti kerana latihan di Afrika Selatan dan Malaysia memang berbeza.

"Saya akan cuba kawal kondisi badan dan masa terutamanya bagi memastikan catatan larian saya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

"Saya akan cuba untuk mendapatkan pingat emas buat negara di Sukan SEA nanti tapi emas di temasya itu bagi saya bukan pencapaian maksimum. Sebaliknya saya sasarkan untuk lakukannya di Sukan Asia dan Komanwel," katanya.

Zaidatul Husniah ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Afrika Selatan mengakui gembira apabila pulang sebagai ratu pecut kerana baginya bukan mudah untuk melakukannya.

Jelasnya pengalaman kira-kira dua bulan berlatih dan menyertai pertandingan di Afrika Selatan banyak membantu meningkatkan motivasi buat dirinya untuk menjadi lebih baik selepas ini.

"Saya belum mencapai tahap prestasi terbaik kerana matlamatnya bukan sekarang sebaliknya ketika di Sukan SEA nanti.

"Tapi alhamdulillah saya dapat buat catatan masa yang pantas dengan cepat yang banyak dibantu oleh jurulatih di Afrika Selatan, Morne Nagel dan jurulatih saya, M Balamurugan," katanya.

Pada 9 Mac lalu, Olimpian itu mencatatkan 11.45s di Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan sekali gus memecahkan rekod kebangsaan acara 100m yang berusia 24 tahun milik G Shanti (11.50s).

Berita Harian X