Rabu, 19 April 2017 | 2:06pm

Anak ugut ibu dipenjara 15 bulan

TERTUDUH, Junaidi Mad Nor (kanan) dari Sungai Udang dikawal anggota polis selepas mengaku bersalah serta dikenakan penjara 15 bulan bagi dua pertuduhan mengugut ibu sendiri menggunakan kayu dan gagal mempamerkan kad pengenalan ketika keluar dari Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Seorang bekas banduan dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan memeras ugut ibunya menggunakan kayu bagi mendapat RM100.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu ke atas Junaidi Mad Nor, 34, dari Sungai Udang sejurus tuduhan menggugut dan gagal mempamerkan kad pengenalan dibacakan terhadapnya.

Junaidi dituduh memeras ugut ibunya, Nokiah Ali, 62, dengan mahu memukul menggunakan kayu bagi mendapatkan wang RM100 di depan sebuah rumah di Paya Rumput, jam 2.30 petang, pada 9 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Junaidi juga dituduh gagal menunjukkan kad pengenalan diri ketika pemeriksaan polis di alamat sama, jam 1 tengah hari, pada keesokan harinya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Mahkamah menjatuhkan penjara 15 bulan bagi tuduhan pertama, manakala dua bulan bagi tuduhan kedua.

Hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 April lalu.

Berita Harian X