X
Rabu, 19 April 2017 | 3:17pm

18 anggota polis Selangor terima penghargaan tolak rasuah

PENGARAH SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah (kanan) menyampaikan sijil kepujian kepada sebahagian daripada enam orang anggota polis sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Mohd Fuad Abd Latiff (dua kanan) sempena Majlis Penyampaian Surat Kepujian Tangkapan Rasuah di Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman
PENGARAH SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah (kanan) menyampaikan sijil kepujian kepada sebahagian daripada enam orang anggota polis sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Mohd Fuad Abd Latiff (dua kanan) sempena Majlis Penyampaian Surat Kepujian Tangkapan Rasuah di Dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Seramai 18 anggota polis Selangor menerima sijil penghargaan kerana mempertahankan integriti dengan menolak rasuah.

Sijil penghargaan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, pada Majlis Penyampaian Surat Kepujian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini,hari ini.

Mohd Fuad berkata, sijil penghargaan itu sebagai menghargai kejujuran anggota polis yang bersikap jujur, termasuk mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menyogok pihak berkuasa.

"Mana-mana anggota polis yang menolak rasuah dianggap sebagai hero kepada masyarakat. Kita semua tahu rasuah adalah perkara yang jijik dan boleh menjatuhkan imej sesebuah organisasi.

"Kita memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba memberi rasuah kepada anggota polis supaya tidak berbuat demikian," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis itu.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Sementara itu, penerima sijil penghargaan, Koperal Selvie Pensin, 32, berkata beliau sentiasa mengingatkan dirinya untuk berpegang kepada etika dan integriti, walaupun diduga dengan tawaran rasuah lumayan.

Beliau yang bertugas di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, berkata pernah ditawarkan rasuah RM50 oleh pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"Pada 7 Februari lalu, saya bersama tiga anggota lain menahan sebuah kenderaan di kawasan ketibaan klia2 kerana melakukan kesalahan, termasuk gagal mengemukakan pengenalan diri. Pemandu ini kemudian cuba menyogok supaya tidak disaman.

"Malah, ketika mahu mengeluarkan saman, dia cuba memberikan wang dan saya bertegas menolaknya. Selepas masih berdegil, saya menahannya dan membawa ke pejabat SPRM Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X