Rabu, 19 April 2017 | 7:10pm

Siasatan isu tajaan skuad TRW di peringkat akhir

SIPITANG: Siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman MARA terhadap Tan Sri Annuar Musa berhubung kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabit penajaan pasukan bola sepak Kelantan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Pengerusi sementara MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata pihaknya sudah menetapkan tarikh untuk berjumpa Annuar seterusnya melengkapkan siasatan berhubung penajaan terhadap skuad The Red Warriors oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Pelaburan MARA Berhad (PMB).

Sehubungan itu, beliau menegaskan, keputusan berhubung hasil siasatan juga akan dapat diketahui tidak lama lagi.

"Hal ini sudahpun diuruskan (melengkapkan siasatan) dan kita sudah ada tarikh bila beliau akan dipanggil.

"Sekarang kita hanya perlu tunggu keputusan yang seterusnya," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pembangunan MARA (YPM), di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Pengarah MARA Sabah, Ruzlan Abd Malek; Pengarah GIATMARA Sabah, Mohd Fazal Baniamin; Timbalan Pengarah Pembangunan MARA Sabah, Abu Sufian Abu Hanipah dan Pegawai Daerah Sipitang, Latip Amat.

MARA pada 31 Januari lalu merehatkan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh sebagai Pengerusi agensi itu dan Pengerusi Pelaburan MARA Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman menyiasat isu penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan Kelantan.

DATUK Dr Yusof Yacob (tengah) bergambar bersama penerima bantuan persekolahan sumbangan YPM bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Berampah, Sipitang. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Terdahulu pada majlis itu, seramai 200 pelajar daripada 22 sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah ini menerima beg sekolah sumbangan YPM.

Sipitang adalah lokasi keempat di Sabah selepas Tawau, Kota Marudu dan Lahad Datu sebelum program sama bakal diadakan di daerah Semporna.

Sementara itu, Dr Yusof berkata, pihaknya menyalurkan inisiatif menerusi program khidmat sosial kepada pelajar kurang berkemampuan sebagai galakan untuk mereka meningkatkan prestasi akademik.

"Inisiatif berbentuk kelengkapan sekolah ini berperanan memastikan pelajar dari golongan pertengahan mendapat perhatian sewajarnya, selain memberi sokongan moral kepada ibu bapa dalam membantu menyediakan keperluan persekolahan anak masing-masing," katanya.

Berita Harian X