Rabu, 19 April 2017 | 7:53pm

2 anak arwah Ketua Narkotik Baling stabil selepas pembedahan

DATUK Dr Norhizan Ismail. - Foto Amran Hamid
DATUK Dr Norhizan Ismail. - Foto Amran Hamid

SUNGAI PETANI: Dua daripada tiga anak arwah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, disahkan stabil selepas menjalani pembedahan, hari ini.

Selain Insyirah Aliah, 10, yang patah tulang antara lutut dan pergelangan kaki kiri, seorang lagi adiknya, Imanina Alia, 5, turut menjalani pembedahan akibat patah tulang antara paha dan lutut kiri.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata Insyirah yang juga anak sulung kepada arwah Mohd Noor Md Yaub, 38, menjalani pembedahan hampir dua jam bermula 2.30 petang tadi, manakala Imanina pula menjalani pembedahan lebih empat jam bermula 8.40 pagi.

"Kedua-dua beradik itu disahkan stabil dan masing-masing kini ditempatkan di HSAH untuk rawatan lanjut.

"Sementara seorang lagi mangsa, Insyirah Aliah, 9, yang patah tulang tangan serta pergelangan tangan kanan hanya menerima rawatan di wad," katanya dalam kenyataan di sini.

Norhizan berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah pemantauan dan penjagaan pakar psikiatrik untuk tujuan bantuan kaunseling bagi memastikan aspek psikologi masing-masing stabil.

"Selain itu mereka turut diletak di bawah penjagaan pakar kanak-kanak dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Dalam kejadian pagi semalam, Mohd Noor dan isteri, Suriya Ab Rahman, 37, maut selepas kereta dinaiki bersama empat anak terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Kupang-Baling.

Ketika kejadian, Mohd Noor dikatakan dalam perjalanan menghantar isterinya yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Teduri, di Baling, bersama empat anaknya yang belajar di sekolah sama.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X