Rabu, 19 April 2017 | 8:53pm

Paradigm Mall JB, dibuka November ini

KUALA LUMPUR: Paradigm Mall Johor Bahru (JB), pusat beli belah terbaharu dan terbesar di Johor, akan dibuka menjelang akhir November, tahun ini.

Pengarah Urusan WCT Holdings Bhd (syarikat pemilik dan pemaju Paradigm Mall), Datuk Lee Tuck Fook, berkata kadar ambilan ruang sewaan bagi gedung seluas 1.3 juta kaki persegi itu telah mencapai lebih daripada 75 peratus.

"Paradigm Mall JB telah dibina sebagai sebahagian daripada sebuah pembangunan bersepadu yang menggabungkan komersial, peruncitan, kediaman dan hospitaliti untuk menetapkan tanda aras yang baharu dari segi pembangunan runcit dan gaya hidup di sebelah Wilayah Selatan," katanya pada pelancaran jenama peruncitan pusat membeli belah itu di sini, hari ini.

Paradigm Mall yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1 bilion dan keluasan binaan seluas dua juta kaki persegi, akan menempatkan Parkson, pengendali stor jualan yang terkemuka di Asia sebagai penyewa utama dengan ruang sewaan sebanyak 200,000 kaki persegi.

Ini juga menandakan gedung wilayah selatan yang pertama, Parkson.

Menurut Lee lagi, komposisi induk pembangunan itut juga merangkumi cadangan pangsapuri berservis 24 tingkat dengan GDV sebanyak RM150 juta sehingga RM200 juta dan sebuah hotel empat bintang berkapasiti 296 bilik dengan GDB sebanyak RM100 juta.

Pembangunan pangsapuri servis dan hotel itu masih belum dimuktamadkan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan WCT Malls Management Sdn Bhd, Serena Chua berkata, pusat membeli-belah itu banyak menonjolkan ciri-ciri yang 'pertama' dalam Johor, seperti pasar raya premium pertama, Village Grocer, pawagam Golden Screen Cinemas terbesar, gimnasium pendakian Camp5 dan taman papan luncur dalam bangunan yang pertama di Malaysia.

"Ia mudah diakses dari Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Malaysia dan Singapura," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu menyasarkan kadar penghunian penuh bagi pusat beli-belah menjelang 2018 kerana agak berhati-hati dalam pemilihan penyewa.

"Untuk baki selebihnya, kami mencari penyewa yang bersaiz lebih kecil seperti perniagaan makanan dan minuman yang kebanyakannya dimiliki oleh rakyat Malaysia," kata Chua.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif-Peruncitan Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, pengurus runcit Paradigm Mall, Datuk Joyce Yap, berkata pusat membeli-belah, setinggi enam tingkat dengan 500 lot runcit itu nenpunyai 200 penyewa sekarang ini, penyewa domestik membentuk sejumlah 80 hingga 85 peratus.

"Pada pendapat saya, segmen pasaran runcit berada dalam keadaan baik dan mampu meningkat lagi selagi perniagaan memastikan mereka fokus dan relevan, mencari pengkhususan dan meneruskan kajian pasaran terutama ke atas saluran dan sasaran pasaran, selain daripada aktiviti-aktiviti promosi yang perlu berjalan," kata Yap. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X