Rabu, 19 April 2017 | 11:03pm

ECER tarik pelaburan swasta RM101.4 bilion

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan swasta berjumlah RM101.4 bilion dan mewujudkan lebih 140,000 pekerjaan sehingga Disember tahun lalu, sejak transformasi sosioekonomi pada 2008.

Wilayah ECER meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), menyatakan lebih 24,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana turut dibangunkan melalui pelbagai programnya seperti 'Empower ECER', 'Entrepreneur ECER' dan '[email protected]'.

"Golongan usahawan ini membantu meningkatkan ekonomi tempatan dengan menjana lebih 31,000 peluang pekerjaan. Apa yang lebih membanggakan ialah kejayaan sebahagian daripada usahawan terbabit yang bermula dari peringkat mikro, kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa," kata ECER dalam kenyataan.


DATUK Seri Jebasingam Issace John

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan, peningkatan jaringan usahawan tempatan adalah antara strategi utama ECERDC untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di Wilayah ECER.

"Matlamat ini turut disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan menarik pelaburan swasta bagi menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan serta memberi limpahan sosioekonomi yang berterusan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang dan kaum," kata Issace.

Beliau berkata tahun lalu, sebanyak 20 syarikat tempatan telah meraih RM8.5 juta nilai kontrak untuk mengeksport produk mereka ke China pada program 'Entrepreneur ECER' yang diadakan di Nanning, China pada Pameran China-ASEAN.

Program 'Entrepreneur ECER' juga berjaya meningkatkan pendapatan lebih 6,000 peserta kepada purata antara RM5,000 dan RM300,000 sebulan.

Bagi 'Empower ECER', katanya, tumpuan diberikan kepada kumpulan B40 supaya mereka mampu menjadi usahawan yang berdaya saing atau mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan lebih tinggi.

Kumpulan B40 termasuk ibu tunggal, graduan menganggur dan orang kelainan upaya dan program itu dilaksanakan untuk memberi kemahiran bernilai tinggi dan ilmu keusahawanan.

Sementara itu, bagi '[email protected]', Issace berkata, sebanyak 157 projek Bumiputera mendapat manfaat daripada program itu dengan sumbangan pelaburan bernilai RM15.5 bilion dengan lebih 17,800 peluang pekerjaan.

"Pencapaian ini mencerminkan peningkatan penyertaan Bumiputera dalam ECER, sejajar dengan dasar inklusif Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

"Transformasi berkenaan memberi impak positif dan menggalakkan peserta melakar kejayaan yang lebih cemerlang dan menjadi inspirasi kepada warga ECER," katanya.

Inisiatif ECERDC untuk memperkasa rakyat di Wilayah ECER telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia dicalonkan bagi 'Program Transformasi Ekonomi Terbaik' oleh Jawatankuasa Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G) 2017.

"Pencalonan bagi anugerah itu sendiri pada tahun ini dianggap satu pencapaian kerana hanya empat program transformasi ekonomi di seluruh dunia disenarai pendek oleh jawatankuasa pemilihan," kata Issace.

Anugerah 3G, dianjurkan oleh sebuah pertubuhan di United Kingdom, Cambridge IF Analytica, dan diberikan kepada kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan atas kecemerlangan dalam ketelusan, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial.

Ia akan diadakan pada 24 April 2017 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. - BERNAMA

Berita Harian X