Khamis, 20 April 2017 | 6:34pm

Perintah berkurung di ESSZONE dilanjutkan

SANDAKAN: Perintah berkurung fasa ke-63 di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-64, bermula esok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata fasa baharu perintah berkurung itu dikuatkuasakan bermula jam 6 petang esok sehingga 4 Mei depan.

"Sepanjang tahun ini, tiada berlaku sebarang insiden keganasan dan penculikan.

"Usaha (melanjutkan perintah berkurung) akan diteruskan sehingga kita rasa keselamatan dan keamanan terjamin," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Perintah berkurung dikuatkuasakan di perairan bermula tiga batu nautika dari pantai di tujuh daerah, iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Berikutan itu, orang ramai di daerah terbabit diingatkan tidak berada di lokasi diisytiharkan kawasan perintah berkurung bermula jam 7 malam hingga 5 pagi.

Mengenai rungutan nelayan yang mendakwa dikekang menangkap ikan di perairan kurang tiga batu nautika, Ramli berkata, polis akan melihat semula isu itu dan memberi arahan lanjut.

"Perintah berkurung bermula dari tiga batu nautika dari persisiran pantai.

"Pasukan penguatkuasa tidak dibenar mengambil tindakan kepada nelayan pesisir pantai (yang beroperasi) di bawah tiga batu nautika," katanya.

Berita Harian X