Khamis, 20 April 2017 | 9:41pm

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

PENANG 11 NOVEMBER 2016. 100 dolar Amerika Syarikat (AS) bersamaan RM435 berikutan ringgit Malaysia jatuh berbanding dolar AS ketika tinjauan di kedai pengurup wang di Lebuh Pantai, Georgetown, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAM
PENANG 11 NOVEMBER 2016. 100 dolar Amerika Syarikat (AS) bersamaan RM435 berikutan ringgit Malaysia jatuh berbanding dolar AS ketika tinjauan di kedai pengurup wang di Lebuh Pantai, Georgetown, Pulau Pinang. NSTP/RAMDZAN MASIAM

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini apabila dolar AS terus lemah berikutan kebimbangan terhadap data Indeks Harga Pengguna AS Mac yang lebih rendah daripada jangkaan serta janji-janji pembaharuan cukai Presiden Donald Trump.

Pada 6 petang, unit tempatan itu disebut harga pada 4.3960/3000 berbanding dolar AS daripada 4.3985/3015 pada Rabu.

Peniaga berkata, pelabur masih ragu-ragu dengan janji-janji Trump itu ditambah dengan data ekonomi rendah, justeru, tumpuan kini beralih ke arah mata wang negara sedang pesat membangun termasuk ringgit.

"Selain itu, kekukuhan harga minyak mentah juga membantu meningkatkan ringgit," katanya.

Niaga hadapan minyak mentah penanda aras Brent meningkat 50 cent semalaman kepada AS$53.43 satu tong dan niaga hadapan minyak mentah AS naik 43 cent kepada AS$50.87 satu tong.

Pada sesi penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound British kepada 5.6392/6452 daripada 5.6424/6489 pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 4.0312/0352 daripada 4.0372/0403.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding euro kepada 4.7310/7366 daripada 4.7152/7197 pada Rabu dan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.1465/1498 daripada 3.1465/1505 sebelumnya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X