Khamis, 20 April 2017 | 11:08pm

PETRONAS lancar terminal gas termaju

KUALA LUMPUR: PETRONAS melancarkan Terminal Gas Terengganu (TGAST) termaju dalam usahanya melonjakkan pembangunan lapangan gas luar persisiran Malaysia yang memiliki kandungan tinggi gas karbon dioksida.

Terminal yang memanfaatkan teknologi termaju dalam penyingkiran karbon dioksida itu berjaya disiapkan empat bulan lebih awal dan dilancarkan Selasa lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata TGAST akan memiliki kapasiti memproses 700 mmscfd gas dari kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand serta Lembangan Melayu Utara di luar pesisir Terengganu.

Katanya, ia akan memberikan jaminan dan kemampanan bekalan untuk pelanggan PETRONAS di semenanjung Malaysia serta kemudahan syarikat itu di rantau ini, khususnya kompleks petrokimia bersepadu di pantai timur.

"TGAST menjadi testimoni terhadap usaha berterusan PETRONAS menambah nilai sumber minyak dan gas yang ditemui di luar persisiran Semenanjung Malaysia.

"Ia juga komitmen yang lebih besar untuk membekalkan tenaga bersih dalam menyokong agenda Malaysia mengurangkan karbon kredit menjelang 2030.

"Terminal ini juga satu pencapaian untuk kami kerana ia bukan hanya memanfaatkan Sistem Membran PN-1 bagi penyingkiran karbon dioksida yang dimajukan PETRONAS, tetapi juga pembabitan projek yang 80 peratus disertai kontraktor tempatan," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Wan Zulkiflee melancarkan kemudahan TGAST ketika kunjungannya meninjau operasi PETRONAS di pantai timur selama dua hari bermula Isnin lalu.

Sebahagian daripada terminal gas, projek itu turut dibangunkan dengan unit pemampat, tangki simpanan, infrastruktur berkaitan, pemasangan perkakasan kawalan suhu dan sistem keselamatan.

INFO:

Kejayaan TGAST sejak projek bermula 2013.

- 10 juta-jam-tanpa-kemalangan (LTI),

- 1,300 hari tanpa sebarang kemalangan

- Gunakan Sistem Membran PN-1 bagi penyingkiran karbon dioksida dimajukan PETRONAS

- 80 peratus dibangunkan kontraktor tempatan

Berita Harian X