Jumaat, 21 April 2017 | 7:00am

Prestasi kerja Kerajaan BN tangkis tohmahan pembangkang


ORANG ramai mengambil kesempatan mendaftar sebagai pemilih di kaunter pendaftaran Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menunaikan tanggungjawab dalam PRU-14 akan datang. - Foto fail NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) optimis BN mampu mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak kira bila ia akan diadakan.

Walaupun pelbagai isu dan tuduhan dilemparkan kepada BN yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang, namun BN terus memenangi beberapa siri pilihan raya khususnya di Sarawak dan juga Sungai Besar serta Kuala Kangsar.

Tuduhan oleh pihak Pakatan Rakyat mengenai kewujudan 40,000 pengundi Bangladesh dan kononnya wujudnya 'black out' ketika pengiraan undi pada PRU-13 lalu, sehingga sekarang tidak dapat dibuktikan. Baru-baru ini Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud membuat lawatan ke negara ini dan terus melabur berbilion ringgit atas dasar bahawa Malaysia sebuah negara yang berpotensi dan berdaya saing di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

Mana mungkin jika Malaysia 'menyalahgunakan kuasa' pihak luar terus menambahkan pelaburannya. Semuanya berpaksikan kepada 'keyakinan'. Sekali lagi pembangkang 'lemas' dengan hujahnya yang gemar memutar dan mengisarkan isu 1MDB dan dana politik tidak berasas, sarat dengan agenda politik yang direka-reka.

'Tabiat' dan 'hobi' beberapa pemimpin pembangkang yang 'gemar' membuat tuduhan yang tidak berasas akhirnya memakan diri sendiri. Lantas mudah mengatakan 'saya bergurau sahaja' atau 'terserahlah' apabila hujah tuduhan liarnya tidak dapat dipertahankan. Baik di luar malah di dalam Parlimen juga agenda 'menghentam' pihak pemerintah, akhirnya menyebabkan rakyat muak dengan politik kebencian yang ditanam dan disuburkan dalam pemikiran rakyat.

Jelasnya rakyat khususnya pengundi menghakimi setiap gelagat politik yang lebih cenderung mengadu domba dan menabur fitnah kepada pemimpin, organisasi dan institusi kerajaan. Malah pengundi telah menyedari bahawa parti pembangkang cenderung 'membangkang' walau apa keadaan dan situasi yang dianjurkan oleh pihak pemerintah.

Sehingga persoalan agama, maruah bangsa diketepikan dek mengutamakan parti yang didukungi. Sehingga isu rang undang-undang 355 (RUU 355) mengemukakan usul persendirian di bawah Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) juga 'ditentang' oleh Ahli Parlimen beragama Islam.

Janji BN sudah dilunas

Hakikatnya Kerajaan BN dapat membuktikan bahawa segala tohmahan liar tidak masuk akal dan tidak berpijak di bumi nyata. Malahan Kerajaan BN terus menabur bakti, mengutamakan kesejahteraan rakyat, membela dan mengutamakan pembangunan baik rohani baik pun fizikal. Kajian terkini lebih 83 peratus janji dalam manifesto BN pada PRU-13 sudah dapat dilunaskan.

Dengan hampir kurang setahun berbaki, BN yakin dapat menunaikan janjinya sesuai dengan 'janji ditepati'. Namun semangat dan semboyan semangat kemenangan BN mengekalkan pemerintahannya banyak bergantung kepada sejauh mana persiapan dan kerjasama atas nama komponen BN. Parti BN perlu sederap dalam merangka strategi dan pelaksanaan jentera, bukan atas nama parti-parti dalam komponen.

Beberapa pemimpin komponen pernah melontarkan pandangan bahawa UMNO lebih berkobar-kobar dan jauh meninggalkan rakan komponennya dalam menggerakkan jentera bagi siap siaga pada PRU-14. BN juga perlu tidak bergantung kepada kelemahan dan perpecahan pembangkang untuk memenangi PRU-14.

BN semestinya lebih menumpukan kepada strategi pengukuhan parti komponen untuk mengekalkan mandat rakyat bagi meneruskan tampuk pemerintahan. Strategi BN terlalu menumpukan kepada menyerang dan melemahkan parti lawan untuk terus berkuasa, akan mengundang risiko.

Pelancaran Jalinan Rakyat (JR) Plus yang dilancarkan Najib, dilihat sebagai strategi terkini yang lebih segar dan mantap. Sebagai bentuk jentera baharu, senjata lebih berbisa dan merangkumi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. BN perlu stand alone dan mempunyai kekuatan tersendiri dalam mendepani segala strategi pihak lawan.

Apatah lagi mutakhir ini kelebihan berpihak kepada BN untuk memenangi PRU-14 berbanding pembangkang. Pendekatan politik pembangunan dan mendampingi rakyat dalam semua aspek kehidupan dilihat lebih memikat hati pengundi. Walaupun wujud perpecahan dalaman pakatan pembangkang, khususnya ketidaktentuan sokongan PAS terhadap Pakatan Harapan antara penyumbang utama kepada telahan akan berpihak kepada BN.

Namun BN perlu menyelesaikan semua persepsi negatif yang sudah terpasak dalam pemikiran rakyat dek propaganda pihak pembangkang.

Kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang agresif berkempen ditambah dengan sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan persaingan semakin hebat. Pendekatan remain dan regain mungkin menjadi resipi dan senjata BN bagi memastikan kuasa dapat dikekalkan. Sudah pasti BN akan terus mengekalkan 134 kerusi yang dimenangi daripada 222 kerusi Parlimen.

Pendekatan mendapatkan kembali kerusi yang pernah dimenangi BN dahulu perlu diberikan fokus, terutama kerusi yang dimenangi oleh parti pembangkang dengan majoriti tipis. Kejayaan kerajaan BN mengukuhkan keadaan ekonomi negara yang dijangka berterusan hingga hujung tahun ini, susulan kenaikan harga minyak dunia serta peningkatan pelaburan asing memberi kelebihan kepada BN untuk terus memerintah.

Tambahan lagi sokongan kuat Sabah dan Sarawak yang masih dilihat sebagai fixed deposit meletakkan BN lebih bersedia dan berkeyakinan untuk terus memenangi PRU-14 nanti.

Mungkin yang menimbulkan kegusaran adalah kecenderungan pengundi Cina yang lebih memihak parti pembangkang, khususnya di bandar. Begitu juga pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun yang dianggap sebagai 'undi penentu' yang sukar untuk dijangkakan kerana sering akan membuat keputusan saat akhir.

Apa pun BN tidak boleh terlalu yakin untuk menyatakan akan terus memenangi PRU-14 tanpa langkah strategi dan menguatkan jentera di setiap lapisan dan kedudukan. Pendekatan lebih ampuh adalah BN terus membela dan mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat mampu memikat pengundi untuk terus memilih parti ini pada pemilihan PRU-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Penulis adalah Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

32 dibaca
Berita Harian X