Jumaat, 21 April 2017 | 8:28am

Guru culik pelajar ditangkap

Tad Cummins.
Tad Cummins.

LOS ANGELES: Seorang guru di Tennessee yang dituduh menculik pelajar 15 tahun, ditahan di utara California manakala remaja itu ditemui selamat.

Tad Cummins, 50, yang diburu lebih sebulan selepas menghilangkan diri dengan Elizabeth Thomas, ditangkap di wilayah terpencil bersempadan Oregon susulan maklumat diterima menerusi talian hotline.

"Pemanggil menyatakan mereka menetap di kabin di kawasan terpencil di Cecilville, California, minggu lalu," kata jurucakap Biro Siasatan Tennessee (TBI), Josh DeVine.

Beliau berkata, walaupun pihak berkuasa berdepan cabaran untuk ke wilayah terpencil itu, mereka dapat mengesan kenderaan Cummins.

Sebaik cuaca cerah, katanya, pihak berkuasa mendapatkan Thomas tanpa kejadian tidak diingini.

Cummins yang berdepan dakwaan menculik dan mengadakan hubungan seks dengan golongan bawah umur, hilang bersama Thomas pada 13 Mac lalu, sekali gus memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran AMBER bagi mencari remaja itu di Tennessee dan Alabama.

Program amaran AMBER menyiarkan buletin tergempar mengenai kes penculikan kanak-kanak.

"Analisis perisikan dan ejen bekerja keras sejak mengeluarkan amaran AMBER untuk memproses lebih 1,500 petunjuk dari semua 50 negeri," kata Pengarah TBI, Mark Gwyn.

Cummins mengajar di sekolah Thomas di Tennessee dan dipecat kerana menjalin hubungan dengan remaja itu selepas seorang pelajar mendakwa melihat mereka bercumbu. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X