Jumaat, 21 April 2017 | 11:59am

Ibra, Rojo buat Mourinho tak menentu


ZLATAN Ibrahimovic (kanan) dan Marcos Rojo.

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata dia perlu bersedia untuk menerima berita buruk selepas kehilangan Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo kerana kecederaan ketika kejayaan suku akhir Piala Europa berdepan Anderlecht, awal pagi tadi.

"Saya mahu menunggu, tetapi perasaan saya tidak berapa baik untuk kedua-duanya," kata Mourinho kepada wartawan selepas skuadnya menang 2-1 ketika tambahan masa di Old Trafford awal pagi tadi, untuk melengkapkan kemenangan 3-2 secara agregat.

"Saya mahu menanti dan saya mahu menjadi optimis, tetapi saya tidak boleh."

Pertahanan tengah Rojo diusung keluar kerana kecederaan kaki pada babak pertama manakala Ibrahimovic, penjaring terbanyak United dengan 28 gol, kesakitan ketika masa penamat apabila lututnya mengalami kecederaan.

Mourinho berkata dia menjangkakan akan dapat tahu mengenai tahap kecederaan dua pemain itu dalam tempoh 'beberapa hari'.

Marcus Rashford terbukti pengganti yang berkeupayaan buat Ibrahimovic apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membawa United ke separuh akhir kejohanan itu buat pertama kali.

Pemain berusia 19 tahun itu juga menjaringkan gol pembukaan ketika United menang 2-0 mengatasi Chelsea Ahad lalu, ketika Ibrahimovic direhatkan.

Daley Blind mengambil alih tempat Rojo, namun Mourinho tidak banyak pilihan di pertahanan tengah dengan Chris Smalling dan Phil Jones ketika ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan. - AFP

25 dibaca
Berita Harian X