Selasa, 26 Ogos 2014 | 5:31pm
Datuk Jamal Abdillah. - Foto Nik Rosli Ishak
Datuk Jamal Abdillah. - Foto Nik Rosli Ishak
Datuk Jamal Abdillah , Zaki dan Osama - Foto Rohanis Shukri
Datuk Jamal Abdillah , Zaki dan Osama - Foto Rohanis Shukri

Saya tidak sunyi, kata Jamal Abdillah

KUALA LUMPUR: Ketika ini ramai yang terus tertanya-tanya sampai bila Datuk Jamal Abdillah akan terus menduda.

Malah, pernah bertebaran gosip mengaitkan beliau dengan wanita itu dan ini, namun semuanya berlalu sepi.

Jamal ketika diajukan persoalan mengenai perkara itu oleh BH Online, penyanyi 'evergreen' itu mengakui selesa menjalani kehidupan solonya seperti biasa.

Meskipun Lebih sedekad menduda, beliau tak pernah menutup hati untuk mana-mana wanita cuma jodoh belum kuat mendampinginya.

Dalam erti kata lain, Jamal belum bertemu wanita idamannya. Perkahwinan pertama Jamal dengan Basariah Latif pada 1988 tetapi mereka tidak dikurniakan anak.

Selepas bercerai dengan Basariah, Jamal berkahwin kali kedua dengan Intan Nur Aina.

Perkahwinan kedua itu dikurniakan Osama tetapi perkahwinan itu tidak bertahan lama.

Jamal kemudian berkahwin kali ketiga dengan Fatimatuzahra Samat dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zaki namun perkahwinan ketiga itu juga berakhir dengan perceraian pada Mei 2007.

"Saya masih menduda. Perhatian penuh saya hanya kepada dua anak. Melihat mereka membesar di depan mata sudah cukup membahagiakan. Anak sulung saya, Osama kini sudah masuk ke asrama penuh untuk meneruskan pengajiannya.

"Anak kedua, Zaki pula dijaga bergilir-gilir dengan bekas isteri. Saya selesa dengan keadaan sekarang. Saya tak sunyi, malah ada kawan di sisi, itu sudah kira OK," katanya yang kembali solo sejak 2007.

Jamal kini terus mencipta populariti di liganya tersendiri sekalipun artis generasi terkini hadir memeriahkan persada seni. Cuma kini sejak 10 tahun ke belakang, Jamal juga menceburi bidang perniagaan dan pelaburan sebagai jaminan masa depan.

"Saya tak tumpu 100 peratus kepada dunia hiburan. Dengan menceburi bidang lain, saya dapat memastikan masa depan anak juga terjamin. Kita tak boleh menduga apa yang bakal terjadi pada masa depan. Kalau saya sakit atau ditarik kebolehan menyanyi kemudian hari, sekurang-kurangnya saya ada sandaran lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamal akan terbabit dengan konsert di Istana Budaya dipanggil Konsert Nostalgia Kemerdekaan ke-57 bermula 28 hingga 31 Ogos ini di pentas berprestij Panggung Sari. Jamal akan berkongsi pentas dengan penyanyi lagenda Indonesia, Eddy Silitonga

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.ticket2u.biz.

Tahun depan, Jamal turut akan terbabit dengan konsert istimewa di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) iaitu pada 28 dan 29 Mac 2015.

Untuk keterangan lanjut boleh layari www.mpo.com.my atau hubungi 03-20517007.

Sementara itu, DFP dengan Orkestra Filharmonik Petronas turut menjanjikan deretan konsert extravaganza dari sekarang.

Serentak dengan perayaan Hari Malaysia, festival ini bakal menyajikan konsert 'unplugged' bertemakan Akustika I dan Akustika II yang menampilkan artis tempatan berbakat besar dan muzik yang bakal terserlah melalui akustik DFP yang ampuh.

Antaranya ialah Ning Baizura, Zainalabidin, kumpulan OAG, Hujan, Atilia, Elvira Arul dan Jay Jay. Festival bakal diakhiri dengan sebuah konsert istimewa bertemakan Malaysia Tanah Airku yang mana MPO bakal mempersembahkan koleksi lagu yang bertemakan khazanah seni budaya, menampilkan artis tempatan tersohor seperti Datuk Yusni Hamid, Datuk M Nasir, Alyah dan Nassier Wahab.

MPO akan meraikan ulang tahun ke-150 iaitu tahun kelahiran dua komposer muzik klasik terunggul, Richard Strauss pada Oktober ini dengan konsert pimpinan Edo de Waart.

Jean Sibelius pada tahun hadapan menampilkan konduktor dari Finland, JukkaPekka Saraste dan Hannu Lintu.

DFP juga akan menampilkan kumpulan Spyro Gyra pada Oktober ini. Ditubuhkan di New York pada tahun 1974, kumpulan instrumental jazz ini mempunyai karier melangkau 40 tahun dan memperoleh pencalonan anugerah Grammy melalui empat album berturut-turut.

Banyak lagi persembahan menarik di DFP. Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Box Office di talian 0320517007 atau faks 0320517077 atau emelkan kepada [email protected]. Sila dapatkan brosur musim konsert terbaharu di Box Office atau layari laman web www.mpo.com.my untuk memuat turun brosur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X