Jumaat, 21 April 2017 | 3:25pm

Isu Dr Zakir: Kerajaan tak perlu tunduk kepada desakan


PENDAKWAH bebas Dr Zakir Naik. - Foto fail NSTP/Azhar Ramli

KANGAR: Kerajaan digesa tidak tunduk dengan desakan parti politik tertentu yang mahukan pendakwah bebas Dr Zakir Naik, dihantar pulang ke India kerana didakwa sebagai pengganas.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata tuduhan berkenaan adalah tidak berasas kerana sehingga kini, tiada bukti yang boleh mendakwa pendakwah itu mengajak orang ramai melakukan keganasan.

"Perkara ini bermula dengan kelompok fanatik agama, diikuti dengan beberapa tokoh parti politik yang mengeluarkan kenyataan mengaitkan Dr Zakir dengan keganasan dan mahu ia dihantar pulang ke India.

"Mereka perlu buktikan... di mana kenyataan (Dr Zakir) yang menyeru keganasan... ucapan beliau dirakamkan... jadi sila maklumkan di mana ayat menyeru keganasan itu. Ini adalah perkara yang mendukacitakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan beberapa pihak termasuk wakil parti politik pembangkang yang mempertikaikan status Dr Zakir yang kononnya didakwa dilindungi Malaysia, ketika pengasas Yayasan Kajian Islam (IRF) itu dikatakan patut dihantar pulang ke India untuk berdepan tindakan undang-undang.

Pada masa sama, Asri berkata, jika perkara itu terus dibangkitkan, kerajaan juga perlu memeriksa latar belakang pendakwah agama lain terutama dari negara luar yang masuk ke rumah ibadat mereka sehingga membuatkan pengikut mereka fanatik dalam sesuatu perkara.

32 dibaca
Berita Harian X