Jumaat, 21 April 2017 | 4:23pm

Husam terdesak - Mohd Amar


DATUK Mohd Amar Abdullah. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Tindakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa mempertikaikan arahan kerajaan negeri supaya peniaga pasar malam menghentikan perniagaan ketika azan Maghrib disifatkan terdesak dan cuba memancing sokongan pengundi bukan Islam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata peraturan menghentikan perniagaan di pasar malam itu sudah terpakai sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan, termasuk Husam sendiri ketika masih dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Salor itu tidak berjaya apabila masyarakat Cina di negeri ini dilihat menyokong peraturan yang diperkenalkan kerajaan negeri itu.

"Sejak pelaksanaan peraturan itu, kalau lihat dalam Facebook, orang bukan Islam tidak mempersoalkan sedikitpun malah masyarakat Cina sendiri memberi maklum balas positif. Jadi saya rasa tidak sepatutnya orang Islam pula mempertikaikan peraturan ini.

"Bagi saya, ia sebenarnya lebih kepada isu politik kerana peraturan itu tidak sedikitpun mendatangkan kemudaratan kerana tempoh 10 minit yang diberikan itu tidak lama seperti buang air saja," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Husam mempertikaikan arahan kerajaan negeri mewajibkan semua peniaga, termasuk bukan Islam menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib dengan menyifatkan ia tidak sesuai untuk peniaga bukan Islam.

Ditanya mengenai Muktamar PAS hujung bulan ini, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS, berkata mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) antara dua perkara utama yang bakal dibangkitkan.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa, dua isu berkenaan dilihat menjadi keutamaan khususnya membabitkan status hubungan dengan PKR selepas menerima desakan akar umbi supaya kerjasama terbabit diputuskan.

"Pada pandangan saya, dua perkara ini sahaja yang menjadi isu besar iaitu pertama mengenai tahaluf siyasi dengan PKR adakah akan diteruskan, dikekalkan atau sebaliknya. Kita serahkan kepada keputusan muktamar.

"Yang kedua, apabila PRU-14 diramal akan berlangsung pada tahun ini, sudah tentu menjadi fokus perwakilan untuk berbahas mengenainya. Jadi dua isu ini sahaja yang besar, yang lain tiada," katanya.

80 dibaca
Berita Harian X