Sabtu, 22 April 2017 | 7:00am
REKTOR Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin. - Foto Shiraz Ali

Prof Zaleha rektor pertama universiti Islam dunia

PROF Zaleha menerima anugerah Pertubuhan Pendidikan Islam, Saintifik dan Kebudayaan Persidangan Antarabangsa Persekutuan, Universiti Dunia Islam di Maghribi, Februari lalu.

GOMBAK: Sumbangan besar mempromosi bidang pendidikan tinggi dalam dunia Islam, melayakkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin, 56, menerima anugerah Pertubuhan Pendidikan Islam, Saintifik dan Kebudayaan (ISESCO).

Itu adalah antara pencapaian tertinggi Zaleha di peringkat antarabangsa yang juga diperkenalkan kali pertama oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Prof Zaleha yang menerima itu ketika Persidangan Antarabangsa Persekutuan, Universiti Dunia Islam (FUIWISESCO), di Rabat Maghribi, Februari lalu, seharusnya menjadi ikon wanita dalam dalam dunia pendidikan Islam.

Beliau juga mencatat sejarah sebagai rektor wanita pertama UIAM dan universiti Islam di seluruh dunia, berkata anugerah itu diterima berikutan sumbang idea dalam membangunkan model dalam mengukur kecemerlangan universiti di bawah negara OIC.

"Idea itu membabitkan kaedah pengajaran dan penyelidikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara OIC. Model itu bertujuan membantu universiti mencapai status penarafan bintang," katanya kepada BH.

Prof Zaleha berkata, pengukuran kecemerlangan universiti di Barat menggunakan sistem 'rangking' manakala dalam kalangan IPT Islam di negara OIC menggunakan sistem penarafan bintang atau 'rating'.

"Sistem ini menentukan kualiti universiti di negara Islam yang menawarkan kursus pendidikan Islam dan ia kali pertama diperkenalkan di negara berkaitan termasuk UIAM.

"Ketika ini, sebanyak 320 universiti Islam di bawah OIC," katanya.

Beliau berkata, tahun ini menjadi cabaran besar beliau dan UIAM yang kini turut melaksanakan projek perintis dari segi penarafan bintang untuk universiti terbabit.

Prof Zaleha yang dilantik Rektor UIAM pada tahun 2011 menegaskan, beliau menyahut seruan kerajaan membawa UIAM ke arah 'pengantarabangsaan' yang antara lain mempertingkatkan jumlah pelajar dari luar negara dan pencapaian cemerlang pelajar pada peringkat dunia.

"Antara pencapaian tertinggi ialah apabila pasukan debat UIAM muncul juara pada Pertandingan Debat Antara Universiti (Cambridge IV) di Universiti Cambridge, London baru-baru ini.

"Selain itu, UIAM menyasarkan 30 peratus pelajarnya daripada luar negara menjelang tahun 2020," katanya.

Prof Zaleha menitikberatkan aspek disiplin kerana ia tonggak kejayaan dalam apa juga bidang diceburi.

Kecemerlangannya beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang perundangan keluarga terus terserlah apabila turut dilantik sebagai Ahli Panel Majlis Perundangan Islam dan Ahli Exco Oxonia, University Network, Oxford.

Selain kerja penyelidikan, beliau turut menulis lebih 20 buku berkaitan bidang perundangan.

"Saya lakukan yang terbaik. Membina keluarga, kerjaya dan kerja sukarelawan pada satu masa memerlukan pengurusan masa yang baik. Saya pastikan keluarga diberi keutamaan termasuk memastikan berjemaah Maghrib dan makan malam bersama.

"Kerja sukarelawan umpamanya saya susun ikut keutamaan, apatah lagi sejak menjadi rektor, tugasan saya lebih banyak," katanya.

Mengulas mengenai cabaran wanita menjawat tinggi, Prof Zaleha berkata penonjolan, kebolehan dan intelektual yang dimiliki golongan itu menjadi kriteria utama untuk layak menjadi pemimpin.

Katanya, di Malaysia isu gender tidak begitu ketara berbanding di negara Timur Tengah yang kurang mengiktiraf dan mengangkat wanita di tempat yang tinggi.

"Contoh mudah, ketika saya menghadiri persidangan, di Riyadh, Arab Saudi pada 2012, mereka meletakkan tirai bagi memisahkan antara peserta lelaki dan wanita," katanya.

Prof Zaleha berkata, selain kerjaya, wanita seharusnya membabitkan diri dengan kerja sukarela atau persatuan kerana ia membantu membina peribadi, sosialisasi dan nilai murni dalam diri.

"Wanita perlu berjiwa besar dan bercakap mengenai isu yang besar juga. Jangan kita sibuk bercakap soal gincu, terkini hingga terlupa dengan negara jiran kita yang sedang bergolak.

"Salah satunya ialah menerusi pendidikan. Saya mahu wanita kita berpendidikan dan memiliki fikiran yang ke depan. Ini kerana saya yakin, wanita berpendidikan, berupaya melahirkan generasi yang bijak pandai juga," katanya.

Info :

Prof Datuk Sri Dr Zaleha Kamarudin :

Asal : Raub, Pahang

Usia : 56 tahun

Pendidikan :

* Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian, Universiti Malaya.

* Sarjana Undang-undang Perbandingan (MCL), UIAM.

* Ijazah Doktor Falsafah Undang-undangan Keluarga Perbandingan (Sivil dan Syariah), Universiti College London.

Sumbangan sebagai Rektor :

* Diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan Islam Antarabangsa yang unggul oleh ISESCO.

* Diiktiraf sebagai Think Tank Platform of Islamic Countries dan UIAM menerima anugerah 'Islamic World Istanbul Science Award.

Kepimpinan :

* Ketua Kluster Perundangan, Majlis Perundingan Islam, Malaysia

* Pengerusi Jawatankuasa Panel Pemikir Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perdana Menteri

* Ahli Lembaga Penasihat, Institut for Cultural Diplomacy, Berlin, Jerman.

* Penubuhan Hospital Pengajar yang ke arah patuh Syariah, Indera Mahkota, Kuantan

Berita Harian X