Sabtu, 22 April 2017 | 5:05pm

220 pelajar manfaat Seminar Didik Rakyat PT3


PENGURUS Bank Rakyat Cawangan Seremban, Mazlan Mohamad bergambar bersama pelajar-pelajar yang menghadiri Seminar Didik Rakyat di Seremban, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Seramai 220 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) daripada tujuh sekolah menengah di sini, didedahkan dengan pelbagai panduan dan teknik bagi memperoleh keputusan cemerlang menerusi Seminar Didik Rakyat, hari ini.

Seminar sehari anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang diadakan dengan kerjasama Bank Rakyat Cawangan Seremban dan BH itu membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Pengurus Bank Rakyat Cawangan Seremban, Mazlan Mohamad, berkata pihaknya berharap setiap pelajar memanfaatkan peluang yang diperoleh sepanjang seminar itu bagi memantapkan persediaan menjelang peperiksaan.

"YBR dan Bank Rakyat sentiasa mengutamakan aspek pendidikan, antaranya dengan menganjurkan beberapa program menerusi tanggungjawab sosial korporat kami termasuk Seminar Didik Rakyat.

"Kami berharap panduan yang diberikan oleh guru cemerlang sepanjang seminar ini dapat membantu pelajar untuk mengenal pasti kelemahan dan meningkatkan pencapaian mereka dalam PT3 kelak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar dan wakil YBR, Nur Ariff Afiza Ahmad Soyuti Seregar.

Seminar sehari itu diadakan secara percuma untuk pelajar daripada sekolah pilihan Bank Rakyat, khususnya pendeposit Bank Rakyat.

INFO

Seminar Didik Rakyat

- Dianjurkan dengan kerjasama BH

- Selain PT3, acara tahunan YBR-BH itu membabitkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

- Sebanyak 50 program diadakan di seluruh negara dengan kebanyakannya diadakan di kawasan luar bandar

Berita Harian X