Ahad, 23 April 2017 | 10:32am

Yusry, Lisa dapat anak lelaki

KUALA LUMPUR: Aktres Lisa Surihani selamat melahirkan anak kedua di Pusat Perubatan Pantai di sini, jam 7.10 pagi tadi.

Suami Lisa, pengarah dan komposer terkenal, Yusry Abdul Halim, bersyukur isteri dan bayi lelaki mereka, sihat.

Yusry bagaikan tidak percaya sudah mempunyai sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan.

"Susah nak percaya. Tapi saya amat bersyukur dengan kurniaan indah ini. Saya dan Lisa dapat anak kedua dalam tempoh segera. Ketika mula mendapat tahu Lisa hamil anak pertama, Yahaira Leanne, belum cukup setahun. Sebelum ini, kami menunggu lama untuk mendapat bayi pertama.

"Lisa juga tidak berdepan masalah ketika melahirkan anak kedua. Semuanya dipermudahkan," kata Yusry kepada BH Online.

Lisa turut gembira dengan kelahiran anak kedua.

"Alhamdulillah, semua cukup manis untuk saya kenang. Terima kasih kepada mereka yang mendoakan kesihatan saya, anak dan keluarga kami. Yahaira sudah jadi kakak," katanya.

Terdahulu, khabar gembira itu dikongsi Yusry di laman Instagram dengan keterangan berbunyi:

"Alhamdulillah. Lisa sudah selamat melahirkan bayi lelaki pagi tadi. Syukur alhamdulillah."

Yusry dan Lisa mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya. Pada Oktober 2015, mereka dikurniakan anak pertama.

Berita Harian X