Ahad, 23 April 2017 | 2:01pm

Gempa bumi 5.9 magnitud landa Chile

SANTIAGO: Gempa bumi 5.9 magnitud menggegarkan tengah Chile, hari ini, namun setakat ini, tiada kematian atau kerosakan dilaporkan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran itu berpusat di luar pesisir pantai, iaitu kira-kira 42 kilometer di barat Valparaiso pada kedalaman 9.8 kilometer, jam 11.36 malam waktu tempatan.

Sementara itu, Pejabat Kecemasan Nasional Chile (ONEMI) menganggarkan kekuatan gempa 6.1 magnitud.

Perkhidmatan oceanografi dan hidrografi tentera laut negara itu pula melaporkan gempa bumi terbabit mampu mencetuskan tsunami.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii.

Difahamkan, beberapa gegaran susulan dilaporkan di Valparaiso, sekali gus mencemaskan penduduk tempatan. - AFP

Berita Harian X