Ahad, 23 April 2017 | 5:22pm

Primeworks Studios mohon maaf

KUALA LUMPUR: Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studio) hari ini membuat permohonan maaf terbuka kepada bekas atlet pecut negara, Watson Nyambek.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata permohonan maaf itu dibuat susulan tindakan pengacara rancangan 'Sukan Tak Sentral' mempersendakan nama bapa Watson.

"Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada saudara Watson Nyambek gara-gara mempersendakan nama baik ayah beliau.

"Kami amat menghormati saudara Watson, ayah dan keluarga beliau. Saudara Watson adalah seorang jaguh pecut negara serta atlet yang telah banyak berjasa mengharumkan nama negara.

"Dengan ini, kami sekali lagi dengan rendah diri ingin memohon maaf di atas kesilapan kami dan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Ahmad Izham berkata, syarikat sentiasa memberi peringatan kepada semua kakitangan untuk peka dan sensitif dalam setiap rancangan yang diterbitkan.

Katanya, Primeworks Studios akan membuat kajian semula terhadap kaedah dan kerja operasi bagi mengelak perkara sedemikian berulang.

Rancangan berkenaan disiarkan malam tadi.

Berita Harian X