Ahad, 23 April 2017 | 9:16pm

Projek Forest City dipromosi ke seluruh dunia

KUALA LUMPUR: Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) akan memasarkan Forest City ke peringkat global, sejajar matlamatnya untuk menjadikan projek hartanah itu sebagai sebuah destinasi pelaburan baharu bertaraf antarabangsa.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Othman Yusof, berkata di peringkat awal pembangunannya, projek terbabit dipasarkan terlebih dulu di China yang juga negara asal pelabur utama, Country Garden, memandangkan jenama kukuh yang dimiliki pemaju hartanah itu di negara asalnya.

"Apabila berjaya mendapatkan jumlah jualan yang diperlukan, sekarang ini kami mula memasarkan projek ini di tempat lain.

"Kami sudah membuka pejabat di Kuala Lumpur, Jakarta dan beberapa tempat lain. Malah, pejabat jualan juga akan dibuka di lokasi seperti London dan Dubai, yang mana kami mahu mencari peluang bagi projek ini di seluruh dunia.

"Justeru, projek ini bukan hanya disasarkan kepada pembeli dari China semata-mata, malah pembeli di peringkat antarabangsa," katanya dalam temubual bersama BH dan New Straits Times (NST), baru-baru ini.

Othman berkata, Forest City diyakini berjaya mencapai sasaran menjadi bandar raya metropolis setanding Dubai memandangkan penilaian sudah dibuat mengenai bagaimana Singapura dapat menarik kemasukan pelbagai syarikat antarabangsa untuk membuka pejabat serantau di negara jiran itu.

Sebagai alternatif, katanya, CGPV juga mampu membina kawasan yang setanding Singapura bagi menarik kedatangan syarikat antarabangsa, andai ia dapat membina infrastruktur komprehensif dalam segenap aspek.

"Itulah yang sedang kami bina sekarang ini, iaitu menyediakan sebuah infrastruktur lengkap bertaraf global.

"Dari segi harga, walaupun kami menjual pada harga agak tinggi di Malaysia, namun dibandingkan dengan Singapura yang hanya beberapa minit berhadapan pulau itu, harga Forest City jauh lebih murah," katanya.

Mengulas mengenai harga hartanah yang tinggi di Forest City, Othman berkata, memandangkan projek itu dibangunkan sebagai sebuah destinasi antarabangsa, ia dipasarkan pada harga purata RM1,300 sekaki persegi, menyamai harga kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur bagi sebuah pembangunan baharu.

Justeru, katanya, walaupun ada juga rakyat tempatan yang membeli hartanah di Forest City, secara dasarnya mereka mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan hartanah di kawasan pembangunan lain pada harga lebih bersesuaian.

"Kami mempunyai pembeli selain dari China, malah ada juga rakyat tempatan. Cuma, rakyat tempatan ada banyak pilihan berbanding pelabur antarabangsa yang tidak boleh membeli rumah lain memandangkan ada had tertentu bagi mereka," katanya.

Dalam pada itu, Othman berkata, dari segi pegangan ekuiti projek, 42 peratus daripada projek itu dikuasai pihak tempatan manakala baki 58 peratus milik syarikat China.

Katanya, daripada ekuiti yang dikuasai pihak tempatan, 20 peratus adalah kepunyaan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), iaitu sebuah anak syarikat 100 peratus kerajaan negeri Johor.

"Maka, apa juga keuntungan daripada projek ini, ia akan menjadi sumber (pendapatan) kepada kerajaan negeri.

"Insya-Allah jika kita dapat menyiapkan keseluruhan 5,000 ekar (2,000 hektar) kawasan itu, laporan yang dibuat oleh perunding terkemuka antarabangsa mendapati kerajaan negeri akan menikmati tidak kurang daripada RM50 juta setahun daripada kutipan semua jenis cukai.

"(Jumlah) itu adalah yang kami jangkakan hari ini. Jika projek itu menjadi lebih besar daripada apa yang dirancang hari ini, Insya-Allah hasilnya akan melebihi angka itu," katanya.

INFO

Forest City

*Keseluruhan projek merangkumi kawasan pulau buatan seluas 20 kilometer persegi

*Projek dijangka disiapkan sepenuhnya menjelang 2035

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X