Isnin, 24 April 2017 | 9:09am

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15


SULTAN Muhammad V. - Foto ihsan Unit Media Pejabat Sultan Kelantan

KUALA LUMPUR: Laporan perkembangan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, di Istana Negara, hari ini.

8.50 pagi - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di anjung Istana Negara.

9 pagi - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di anjung Istana Negara.

9.04 pagi - Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff

9.06 pagi - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, diiringi isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam di anjung Istana Negara.

9.11 pagi - Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra tiba anjung Istana Negara.

9.15 pagi - Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad, diiringi isteri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di anjung Istana Negara.

9.20 pagi - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, diiringi Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim tiba di anjung Istana Negara.

9.23 pagi - Yang di-Dipertua Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz, diiringi isteri, Tuanku Aishah Rohani tiba anjung Istana Negara.

9.25 pagi - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin tiba di anjung Istana Negara.

9.27 pagi - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, tiba di anjung Istana Negara.

9.30 pagi - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, diringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, tiba di anjung Istana Negara.

9.56 pagi - Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, tiba dan diberi Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai lambang taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah tertinggi ATM di Peterana Diraja, Istana Negara.

9.58 pagi - Lagu Negaraku dimainkan di perkarangan Istana Negara bagi menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

10.01 pagi - Sultan Muhammad V, berkenan memeriksa kawalan kehormatan Rejimen Batallion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, dipimpin Mejar Mohd Ridhuan Mohd Basheer.


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat daripada anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara hari ini.
- Foto BERNAMA

10.05 pagi - Selesai lagu Negaraku dimainkan kali kedua sebagai tanda hormat, Sultan Muhammad V, yang mengenakan persalinan Muskat diiringi ke Dewan Seri Maharaja.

10.27 pagi - Perarakan masuk Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V ke Balairong Seri disambut tiupan nafiri dan diiringi alunan muzik lagu 'Raja Berangkat' oleh Pasukan Gendang Besar Diraja Kelantan, diketuai Zaiduna Jauhar yang dibawa khas sempena Istiadat Pertabalan di Istana Negara.

10.30 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon perkenan Sultan Muhammad V untuk memulakan Istiadat Pertabalan.

10.40 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon perkenan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengadap Sultan Muhammad V untuk membacakan surat pengisytiharan.

10.32 - Naskhah al-Quran dan alatan kebesaran pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong dibawa masuk ke Balairong Seri Istana Negara.


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara hari ini bagi menyempurnakan istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang berlangsung dengan penuh adat istiadat Raja-raja Melayu. - Foto BERNAMA

10.35 pagi - Paluan gendang dan tiupan seruling lagu 'Menjunjung Duli' memenuhi segenap ruang Balairong Seri Istana Negara ketika keris, al-Quran dan alatan kebesaran lain untuk Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong dibawa masuk oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah.

10.36 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon perkenan mempersembahkan naskah al-Quran kepada Sultan Muhammad V.

10.42 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon perkenan untuk mengadap Sultan Muhammad V bagi mempersembahkan Keris Kerajaan.

10.44 pagi - Sultan Muhammad V mengeluarkan, mengucup dan menghunuskan Keris Kerajaan sebelum meletakkan alat kebesaran itu di sisi tempat bersemayam.

10.46 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon perkenan mengadap Sultan Muhammad V bagi mempersembahkan warkah ikrar.

10.48 pagi - Sultan Muhammad V melafazkan ikrar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.


SULTAN Muhammad V berkenan mengucup Keris Kerajaan sebagai simbolik penerimaan kuasa Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

10.49 pagi - Laungan 'Daulat Tuanku' memenuhi segenap ruang Balairong Seri Istana Negara dan disusuli tembakan meriam 21 das sebaik Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

10.52 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah, memohon limpah perkenan untuk membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengadap Sultan Muhammad V bagi mempersembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia.

10.53 pagi - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mempersembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia.

11.07 pagi - Dengan perkenan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selesai menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia Kerajaan dan Rakyat Malaysia pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

11.08 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon limpah perkenan mengadap Sultan Muhammad V untuk mempersembahkan warkah pertabalan.

11.16 pagi - Sultan Muhammad V selesai menyempurnakan titah pertabalan. Antara lain, baginda mengajak rakyat bersama berganding bahu memacu kecemerlangan Malaysia di persada antarabangsa.

11.18 pagi - Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yacob, memohon limpah perkenan untuk membacakan doa selamat sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15

11.24 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah, memohon limpah perkenan untuk menerima kembali naskah al-Quran daripada Sultan Muhammad V.

11.25 pagi - Sultan Muhammad V yang bersemayam di singgahsana mengucup sebelum menyerahkan al-Quran sebagai alat kebesaran diraja kepada Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah.


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan melafaz Warkah Ikrar pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

11.27 pagi - Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah memohon limpah perkenan untuk menyembah maklum Istiadat Pertabalan selamat disempurnakan.

11.28 pagi - Dengan kalimah suci 'Alhamdulillah Hirobbil Alamin' yang diucapkan Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdulllah, Istiadat Pertabalan di Balairung Seri Istana Negara melabuhkan tirai.

11.29 pagi - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan turun dari singgahsana dan berarak meninggalkan Balairung Seri Istana Negara, diiringi paluan gendang dan tiupan seruling, menandakan Istiadat Pertabalan menghampiri penghujungnya.


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan Watikah Titah Diraja pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara hari ini.
- Foto BERNAMA

466 dibaca
ANGGOTA Angkatan Tentera Darat dari Unit 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) melakukan tembakan meriam kehormat sebanyak 21 das sempena Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X