Isnin, 24 April 2017 | 9:46am

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula


SUASANA di luar perkarangan Istana Negara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V secara rasminya akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu yang akan berlangsung di Istana Negara hari ini.

Upacara pertabalan itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula 9.30 pagi bagi membolehkan seluruh rakyat bersama-sama menyaksikan istiadat pertabalan ketua negara baharu yang bakal memegang tampuk pemerintahan bagi tempoh lima tahun bermula 13 Disember lalu.

Sultan Muhammad V, 47, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober lalu yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 13 Disember lalu, Seri Paduka telah menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara.

Sultan Muhammad V menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada 12 Disember lalu. - BERNAMA

52 dibaca
Berita Harian X