Isnin, 24 April 2017 | 10:52am
SULTAN Muhammad V terima Keris Kerajaan sebagai simbolik penerimaan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat pertabalan bermula dengan adat ketenteraan


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat daripada anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara, hari ini.
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Sultan Muhammad V bermula dengan istiadat penuh ketenteraan yang berlangsung di Dataran Istana Negara.

Ia sebagai lambang taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Acara bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Anjung Tamu, Istana Negara sebelum diiringi ke Peterana Diraja oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta isteri Datin Seri Raya Erom.

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Seri Paduka diberi Hormat Diraja oleh Barisan Kawalan Kehormat Utama oleh seramai 108 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Serentak itu lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan istiadat Pecah Bendera dijalankan yang menyaksikan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Seri Paduka kemudiannya berkenan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd Riduan Mohd Basheer, dalam perbarisan itu yang diadakan di Dataran Istana Negara.

Selesai pemeriksaan kawalan kehormat, Seri Paduka yang lengkap berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai "Muskat" sekali lagi menerima persembahan Hormat Diraja dan lagu Negaraku dimainkan.

Baginda kemudiannya diiringi dif kehormat berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Seri Maharaja bagi meneruskan istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Balairung Seri, Istana Negara. - BERNAMA

113 dibaca
Berita Harian X