Isnin, 24 April 2017 | 2:31pm

APMM rampas rokok seludup hampir RM1j


PEGAWAI DM5 menunjukkan dua ratus kotak rokok seludup yang dirampas APMM di Pejabat Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5) menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok putih jenama U2 membabitkan rampasan bernilai RM950,000 di perairan Umbai, Jasin, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, sebanyak 200 kotak mengandungi 50 karton rokok bagi setiap kotak, bernilai RM700,000 dirampas selain sebuah bot bernilai kira-kira RM250,000 dan empat unit enjin yang memiliki 200 kuasa kuda.

Pengarah APMM DM5, Kepten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus, berkata tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan rokok berkenaan di sebuah jeti persendirian di Umbai, bagaimanapun melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, di situ.

APMM mengesan sebuah bot pancung yang mencurigakan dipercayai dinaiki tiga lelaki pada jarak tiga batu nautika dari Pulau Undan.

"Ketika intipan dibuat, terdapat sekumpulan lelaki sedang memunggah naik kotak mengandungi rokok ke atas jeti dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan. Bagaimanapun, semua lelaki berkenaan melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.


ROKOK seludup yang dirampas oleh APMM di Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Hasil pemeriksaan di lokasi kemudian, mendapati sebahagian kotak besar berisi rokok sudah dinaikkan ke jeti manakala sebahagian lagi ditutup menggunakan kanvas dipercayai bagi mengaburi penguat kuasa, masih di dalam bot sepanjang 15 meter itu," katanya pada sidang media, di pejabat APMM DM5 di Kuala Linggi, di sini.

Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai dijual di pasaran tempatan secara tidak sah pada harga serendah RM4 sekotak (kecil) dan tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan itu terus berlaku berikutan permintaan tinggi kerana harga rokok meningkat.

"Kita juga percaya suspek dari negara seberang, kemungkinan dari Bengkalis, Indonesia. Bagaimanapun, kita akan mencari maklumat berhubung sekumpulan individu berkenaan dalam aktiviti penyeludupan di perairan Selat Melaka," katanya.

Ahmad Faridi berkata, bot pancung berkenaan ditunda ke jeti APMM Pengkalan Kuala Linggi dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

140 dibaca
BOT yang digunakan penyeludup untuk menyeludup rokok di Pejabat Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
PEGAWAI DM5 menunjukkan bot yang digunakan penyeludup untuk menyeludup rokok di Pejabat Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Alor Gajah.- Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »