Isnin, 24 April 2017 | 6:43pm

1MDB, IPIC setuju penyelesaian timbang tara

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengumumkan syarikat pelaburan strategik itu dan International Petroleum Investment Company (IPIC) bersetuju dengan penyelesaian prosiding timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

1MDB dalam kenyataan hari ini mengesahkan bahawa menerusi penyelesaian itu, pihak mereka akan membuat beberapa pembayaran kepada IPIC dan akan bertanggungjawab untuk semua faedah masa depan dan pembayaran pokok untuk dua bon diterbitkan syarikat Kumpulan 1MDB yang matang pada 2022.

Menurut kenyataan itu, obligasi itu akan dipenuhi 1MDB terutama menerusi penjanaan unit dana pelaburan milik syarikat berkenaan.

"1MDB dengan sukacitanya mengesahkan bahawa penjanaan dana awal kira-kira AS$50 juta (RM219.95 juta) sudah diterima dalam bentuk tunai

"Penyelesaian secara timbang tara dan penjanaan unit dana pelaburan mewakili resolusi satu cabaran yang signifikan dan menjadi sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, yang kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad dalam kenyataan ringkas berkata, kerajaan gembira dengan penyelesaian secara baik antara 1MDB dan IPIC.

"Kerajaan juga mengambil maklum mengenai penjanaan semua unit dana pelaburan milik 1MDB.

"Perkara penting ini menunjukkan perkembangan positif secara berterusan dilaksanakan 1MDB yang hampir menyelesaikan program rasionalisasi," katanya.

Berita Harian X