Isnin, 24 April 2017 | 9:22pm

Guna kelebihan laman sendiri - Zainal


ZAINAL Abidin Hassan. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Skuad Harimau Kumbang perlu mengambil peluang bermain di halaman sendiri untuk menyekat Johor Darul Ta'zim (JDT), yang masih menerajui carta Liga Super dalam saingan Liga Super, Rabu ini.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, berkata beliau akan mengubah taktikal dan corak permainan pasukan berkenaan supaya pemainnya dapat menjaringkan gol.

"Tidak dinafikan semua pemain JDT berada di tahap yang baik kerana baru saja bermain dengan Pahang walaupun tidak layak ke peringkat separuh akhir Piala FA.

"Pemain perlu berwaspada dan tidak melakukan kesalahan yang mudah seperti perlawanan sebelum ini dan menutup setiap ruang pemain JDT," katanya.

Zainal tetap optimis untuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri walaupun hanya menggunakan seorang pemain import.

"Saya terpaksa ketepikan Renaildo Lobo daripada kesebelasan utama dan akan menggantikannya dengan Mafry Balang untuk memantapkan barisan pertahanan.

"Setiap pemain perlu membuat kerja dua kali ganda untuk memastikan mereka dapat menyekat setiap gerakan pemain JDT.

"Kemampuan pemain JDT tidak dapat dinafikan tetapi kesebelasan utama kita juga tidak boleh dipertikaikan kerana mereka juga adalah antara yang terbaik," katanya.

dibaca
Berita Harian X