Selasa, 25 April 2017 | 2:59pm

Permaisuri Johor titah murid madrasah jalani pemeriksaan

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba di Hospital Sultan Ismail (HSI) diiringi Datuk Ayub Rahmat (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr Iezam Suleiman (kanan) serta Pengarah Hospital Sultan Ismail (HSI), Dr Azizah Riduan (kiri) untuk melawat Mohamad Thaqif Amin murid Madrasah Tafiz Al Jauhar, Kota Tinggi yang dirawat di Wad Dependensi Tinggi (HDW), Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah semua murid di madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang turut menerima hukuman dipukul di tapak kaki supaya menjalani pemeriksaan kesihatan.

Titah itu disampaikan Raja Zarith Sofiah kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat selepas baginda melawat bekas pelajar pusat tahfiz itu, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.

Kedua-dua kaki Mohamad Thaqif Amin terpaksa dipotong umaat lalu akibat jangkitan kuman dan darah beku selepas didakwa dirotan oleh warden di pusat berkenaan.

Baginda meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat Mohamad Thaqif Amin yang kini ditempatkan di Wad Dependensi Tinggi (HDW) hospital berkenaan.

Ayub berkata, Permaisuri Johor bertitah sedemikian kerana baginda tidak mahu tindakan yang lambat diambil terutama apabila berkemungkinan berlaku kes seumpama itu.

"Baginda ada menitahkan kepada saya supaya mengenal pasti murid lain yang menerima hukuman sama untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Kita juga sudah berbincang dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk pantau keadaan madrasah berkenaan dari aspek kesihatan, kebersihan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di HSI di sini, hari ini.

Beliau berkata, Raja Zarith Sofiah turut bertitah supaya Jumaat ini, semua masjid dan surau di negeri ini turut mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesihatan Mohamad Thaqif Amin sebagai tanda sokongan moral kepada kanak-kanak itu.

"Baginda titah untuk saya bincang dengan EXCO Agama negeri bagi mengarahkan Jumaat ini, semua masjid dan surau adakan solat hajat untuk mendoakan kesihatan adik (Mohamad Thaqif Amin), semoga Allah memberi kesembuhan segera kepadanya," katanya.

Berita Harian X