Selasa, 25 April 2017 | 6:15pm

Manfaat teknologi baharu kekal daya saing


MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika hadir pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan Kepersisan Pemesinan dan Industri 4.0 di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di Georgetown, hari ini. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Pemain industri pembuatan di negara ini dinasihat untuk menitikberatkan keperluan mengguna kaedah dan teknologi baharu bagi menghadapi gelombang Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia bagi memastikan golongan berkenaan terus kekal berdaya saing.

Katanya, pemain industri juga perlu bersedia menerapkan kaedah pengeluaran pintar, selain memperhebat pengurusan modal insan yang kini menjurus kepada perkembangan bakat.

"Ia bagi memastikan pekerja mereka (pemain industri pembuatan) memiliki kemahiran berpatutan dan berdaya saing untuk memacu agenda ekonomi negara.

"Pemain industri pembuatan juga juga perlu memastikan lebih banyak elemen Industri 4.0 diterapkan dalam pengeluaran masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Kepersisan Pemesinan dan Industri 4.0 di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Pengerusi Majlis Pengurusan PSDC, Dr Juergen Schloesser dan Ketua Pegawai Eksekutif PSDC, Muhamed Ali Hajah Mydin.

26 dibaca
Berita Harian X