Selasa, 25 April 2017 | 6:40pm

Pameran Auto Malaysia 2017 sasar 200,000 pengunjung


KETUA Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari. -Foto Ahmad Irham Mohd Noor

CYBERJAYA: Institut Automotif Malaysia (MAI) menyasarkan 200,000 pengunjung akan mengunjungi Pameran Auto Malaysia 2017 yang akan berlangsung selama empat hari, bermula 9 November depan.

Sebanyak 150 pempamer dijangka menyertai pameran automotif terbesar di Malaysia itu, yang akan diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari, berkata penganjuran Pameran Auto Malaysia kali ini adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding sebelumnya, dengan memanfaatkan MAEPS yang memiliki kawasan pameran paling luas di negara ini.

Katanya, menerusinya, pihak penganjur berharap menarik lebih banyak pengeluar kereta, pengeluar kereta cekap tenaga dan pempamer aksesori automotif, yang berpotensi menganjurkan sehingga 800 persidangan berkaitan automotif.

"Lebih menarik di MAEPS juga membolehkan kita mewartakan laluan khas untuk pandu uji yang lebih selamat, selain menyediakan peluang pengunjung memandu uji kereta automasi tahap tiga dan laluan lasak.

"Untuk menarik pengunjung, pengeluar kereta turut menawarkan pelbagai tawaran khas dan pakej menarik, selain kehadiran trak makanan, pameran jualan fesyen dan barangan untuk keluarga.

"Bagi membantu pembeli, kami turut menganjurkan Malam Anugerah Kereta Tahunan Malaysia (COTY) dan mengumumkan kereta terbaik tahun ini pada hari pertama pameran," katanya sambil menambah Pameran Auto Malaysia 2017 dijangka membabitkan kos lebih besar berbanding RM1.5 juta sebelumnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Cyberjaya.

Dalam perkembangan lain, Madani berkata, kerajaan kini proaktif mengkaji cara meringankan dan membantu syarikat Permit Import (AP) Terbuka sejajar dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ia susulan kebimbangan pemegang AP Terbuka yang dikenakan bayaran levi RM10,000 bagi setiap kereta dibawa masuk menyebabkan mereka terbeban dan sukar untuk menjual kenderaan.

Beliau berkata, perkara itu sedang dikaji secara mendalam dan akan dibawa ke perhatian menteri sebelum dimuktamadkan untuk diumum kepada orang ramai.

"Kajian akan tertumpu kepada usaha bagaimana kerajaan dapat meringankan dan membantu perniagaan itu sejajar dengan permintaan Perdana Menteri baru-baru ini," katanya.

Info:

Pameran Auto Malaysia 2017

-Sasaran 150 pempamer automotif

-Laluan uji pandu khas untuk kereta biasa, kereta automasi dan laluan lasak

-800 persidangan industri

- Sasaran 200,000 pengunjung

Berita Harian X