Selasa, 25 April 2017 | 7:07pm

Raja Bomoh bertaubat

RAJA Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin.

KUALA LUMPUR: Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin diperintahkan berkelakuan baik selama enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah hari ini selepas mengaku salah menghina kesucian agama Islam.

Kesalahan itu adalah berhubung amalan ritual untuk menurunkan hujan bagi meredakan panas kesan fenomena El Nino di tapak bekas rumah pangsa Jalan Pekeliling, di sini, pada 21 Mac 2016.

Ketua Hakim Syarie Datuk Mohamed Ibrahim yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Ibrahim menjalani hukuman itu dengan bon jaminan oleh dua penjamin di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Mengikut kenyataan media Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), perintah itu adalah mengikut mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 560), selepas mengambil kira faktor usia tertuduh.

Kenyataan itu berkata, Ibrahim memahami dan menyedari tuduhan yang dibacakan terhadapnya dan mengaku salah di atas tuduhan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina mengikut Seksyen 7(a)Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Pejabat Mufti turut diarahkan untuk menyediakan modul pengajaran bagi membolehkan Ibrahim menjalani kelas akidah dan fardhu ain, selain menyediakan laporan perkembangan tertuduh kepada mahkamah sepanjang tempoh itu.

Jelas kenyataan itu lagi, hukuman ke atas Ibrahim dibuat selepas pihak pendakwaan yang diketuai Pendakwa Kanan Syarie, Zainor Rashid Hassin mengemukakan fakta kes yang dipersetujui tertuduh dan dia turut diberi peluang merayu bagi meringankan hukuman, manakala Zainor mengemukakan hujah untuk memberatkan hukuman.

Berita Harian X