Rabu, 26 April 2017 | 1:48pm

MIDA yakin GBS Iskandar mampu tarik ramai pelabur


KETUA Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud. - Foto Hafiz Sohaimi

ISKANDAR PUTERI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin Sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Iskandar mampu menarik lebih ramai pelabur bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, berkata sejak beroperasi tahun lalu, GBS Iskandar mampu menarik sembilan syarikat untuk beroperasi di kawasan itu dengan menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, lokasi yang strategik selain terletak berhampiran Singapura seharusnya digunakan lebih banyak syarikat untuk merebut peluang membuka operasi perniagaan mereka GBS Iskandar.

"Antara sembilan syarikat itu ialah Frost & Sullivan; Brandt International; VTC; DayThree; Vistra dan Odinsoft. Saya cukup yakin GBS Iskandar mampu menarik lebih ramai pelabur pada masa akan datang bagi merancakkan lagi pelbagai sektor ekonomi di wilayah Iskandar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Wilayah Selatan Outsourcing Malaysia (OM) di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengerusi OM, Cheah Kok Hoong dan Pengarah Urusan i2M Ventures Sdn Bhd, Zulfiqar Zainuddin.

GBS Iskandar dikelolakan i2M Ventures Sdn Bhd (i2M), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, dilancarkan tahun lalu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sementara itu, Zulfiqar berkata sehingga kini, GBS Iskandar sudah mewujudkan kira-kira 2,800 peluang pekerjaan profesional dengan pelaburan komited lebih RM1.4 bilion.

Katanya, lokasi Iskandar Puteri yang strategik berhampiran Singapura dan kos yang lebih rendah, mahir dalam pelbagai bahasa dan modal insan berkemahiran menjadikannya lebih ideal sebagai hab perkhidmatan perniagaan bagi syarikat multinasional.

"Dalam perancangan jangka panjang, kita juga mahu terus bekerjasama bersama MIDA, OM dan kerajaan negeri bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Iskandar Puteri," katanya.

Berita Harian X