Rabu, 26 April 2017 | 4:15pm

Hadi sampai amanat khas pada muktamar

DATUK Seri Abdul Hadi Awang. - Foto Danial Saad

ALOR SETAR : PAS akan mengadakan sesi taklimat presiden yang dibuat secara tertutup membabitkan semua perwakilan dan pemimpin parti, yang akan disampaikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Jumaat ini.

Amalan itu julung kali dibuat parti itu bersempena Muktamar PAS Pusat Kali Ke-63, di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di sini, sekali gus menyamai amalan dibuat UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, berkata pada sesi itu nanti, beberapa amanat penting akan disampaikan kepada perwakilan termasuk berkaitan isu hubungan dengan PKR serta persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

"Amanat presiden secara tertutup ini akan diadakan pada sebelah malam 28 Mei ini dan intipatinya tidak akan disentuh dalam ucapan dasar.

"Jadi ia tidak dibuka untuk liputan media kerana kita rasa tidak sesuai dan Setiausaha Agung juga akan adakan taklimat pada waktu sama," katanya pada sidang media menjelang Muktamar PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, sebentar tadi.

Mengulas perjalanan muktamar kali ini, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, seramai 1,231 perwakilan akan hadir dan mengundi pada pemilihan jawatankuasa PAS Pusat serta sayap Pemuda dan Muslimat.

Untuk pertama kalinya juga, beliau berkata, proses mengundi akan dijalankan menerusi sistem elektronik e-undi memandangkan cara itu lebih mudah dan cepat.

"Namun keputusan rasmi hanya akan diumum pada 1 Mei. Kita yakin segala maklumat kemenangan calon akan disimpan rapi dan tidak dibocorkan sebelum hari pengumuman rasmi.

"Hanya ada empat individu saja yang terbabit dalam proses menjaga keputusan undian. Jika bocor, mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan," katanya sambil memaklumkan pada pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, seramai 26 calon bertanding bagi merebut 18 tempat.

Sementara bagi Pemuda, 14 calon sah bertanding untuk mengisi 12 tempat sebagai AJK Pemuda PAS Pusat, sementara 16 calon bagi mengisi 12 slot Muslimat PAS.

Tiada pertandingan bagi semua jawatan dalam Dewan Ulama PAS.

Berita Harian X