Rabu, 26 April 2017 | 4:29pm

Tindakan tegas jika guna bas sekolah uzur: SPAD

KANGAR: Tindakan tegas akan diambil kepada pemandu bas atau van sekolah yang masih menggunakan kenderaan uzur yang tidak mematuhi piawaian untuk beroperasi.


TAN Sri Syed Hamid Albar. - Foto Aswadi Alias

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengusaha bas atau van sekolah terbabit kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna khususnya pelajar sekolah.

Tanpa menyebut tindakan yang bakal dikenakan kepada pemandu yang masih berdegil, Syed Hamid berkata kenderaan terbabit sekurang-kurangnya perlu memenuhi piawaian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sekiranya mahu menjalankan perkhidmatan itu.

"Kita masih berkompromi dengan memberi kelonggaran kepada pemandu menggunakan bas atau van yang tidak kelihatan terlalu uzur meskipun usianya melebihi 10 tahun.

"Perkara paling penting pengusaha perkhidmatan itu perlu memohon permit. Jika tiada, kita akan mengambil tindakan kerana prosedur permohonan permit pada masa ini begitu ringkas dan mudah," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan 27 Bas Baharu MyBas dan Menandatangani Kontrak Servis dan Penyelenggaraan di Kawasan Industri MARA Fasa 2 di Kuala Perlis, dekat sini.

Dalam majlis itu, sebanyak 27 buah bas baharu dilengkapi teknologi terkini dan kemudahan orang kelainan upaya (OKU) diberikan oleh kerajaan sebagai antara inisiatif menambah baik kecekapan sistem pengangkutan awam di Perlis.

Berita Harian X