Rabu, 26 April 2017 | 6:26pm

Sektor GBS bakal catat pertumbuhan kukuh


KETUA Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud hadir pada pelancaran pejabat cawangan selatan Outsourcing Malaysia (OM) di Medini 6, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

PUTERI ISKANDAR: Sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Malaysia dijangka berkembang antara 10 hingga 15 peratus menjelang tiga tahun lagi, berikutan kebanyakan syarikat sedang berusaha untuk menjalankan perniagaan mereka secara lebih efektif dan efisien.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, pertumbuhan itu pasti akan membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang berasaskan pengetahuan dan berpendapatan tinggi.

Sektor GBS sentiasa menjadi satu daripada fokus utama dalam pembangunan ekonomi, dengan sejumlah 499 syarikat GBS telah menubuhkan pusat penyumberan luar dan cawangan mereka di Malaysia.

Daripada angka itu, sembilan bertempat di GBS Iskandar seperti Frost & Sullivan, Brandt International, DayThree, Vistra dan Odinsoft.

Ini turut mewujudkan lebih 93,000 peluang pekerjaan.

"Memang wajar untuk diambil perhatian bahawa prestasi itu telah melepasi sasaran yang ditetapkan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara dalam Perkhidmatan Perniagaan yang mahu menjana 43,330 pekerjaan menjelang 2020.

"Apa yang lebih penting, peluang pekerjaan ini memberikan gaji purata sebanyak RM7,000 dan ini selaras dengan matlamat kerajaan bagi mewujudkan kerja-kerja dengan pendapatan sederhana kepada tinggi di Malaysia," katanya pada pelancaran pejabat cawangan selatan Outsourcing Malaysia (OM) di Medini 6, hari ini.

Pejabat itu iaitu sebahagian daripada inisiatif OM bagi mewujudkan ekosistem GBS yang bertaraf dunia di seluruh Malaysia, akan memudahkan pertumbuhan industri tempatan sambil menarik minat global ke Malaysia.

Pejabat OM itu juga menjadi sebahagian daripada komitmen untuk menyokong anggota industri yang telah menubuhkan operasi mereka di Iskandar Puteri melalui inisiatif GBS Iskandar.

Azman berkata, memandangkan lokasinya tepi pantainya yang strategik dan dekat dengan Singapura, termasuk asas kos yang lebih rendah, kewujudan bekalan pekerja berkemahiran tinggi dan insentif-insentif yang disediakan kerajaan, ini telah meletakkan GBS Iskandar pada kedudukan terbaik untuk menarik pelabur.

Sehingga hari ini, GBS Iskandar telah mencipta lebih daripada 2,800 pekerjaan profesional dalam sektor terbabit disamping menarik lebih RM1.4 bilion (AS$315 juta) dalam pelaburan. - BERNAMA

Berita Harian X