Rabu, 26 April 2017 | 7:18pm

SK Islah juara bahas ala Parlimen


PASUKAN bahas SK Islah diumumkan pemenang pertandingan bahas Bahasa Melayu ala Parlimen peringkat negeri 2017.

KOTA BHARU: Sekolah Kebangsaan (SK) Islah sekali lagi muncul sebagai juara pertandingan bahas Bahasa Melayu ala Parlimen peringkat negeri Kelantan sekali gus layak ke peringkat kebangsaan pada Julai nanti.

Dalam pertandingan di SK Sultan Ismail 3, hari ini, SK Islah menewaskan sembilan lagi sekolah lain yang mewakili setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini.

Penyelaras pasukan merangkap guru Bahasa Melayu sekolah itu, Nik Zarina Nik Kadir, berkata lima murid yang mewakili pasukan itu akan melakukan persediaan rapi ke peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung pada Julai nanti di Terengganu.

"Apa yang membanggakan, Izzat Airiel Shaharill, 12, dari SK Islah sekali lagi muncul sebagai pembahas terbaik.

"Saingan memang cukup sengit memandangkan lebih ramai sekolah yang menyertai namun semangat tinggi yang ditunjukkan pasukan ini mampu menunjukkan kehebatan berbahas dengan yakin," katanya.

Dengan mengemukakan usul bahas bertajuk Sains dan Teknologi: Murid Bestari, pasukan SK Islah petah membahaskan tajuk itu dengan pemikiran kreatif dan lantang mengemukakan idea masing-masing. SK Guchil, Kuala Krai muncul sebagai naib juara manakala dua sekolah yang berada di tempat ketiga iaitu SK Seri Kiambang (Pasir Mas) dan SK Berangan (Tumpat).

Pada Ahad lalu, SK Islah muncul sebagai johan pertandingan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu dengan menewaskan empat sekolah lain.

Berita Harian X