Rabu, 26 April 2017 | 7:20pm

MTDC perkenal akademi latihan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memperkenal Akademi Latihan Usahawan Teknologi (TENTRA) baharunya yang akan menjadi entiti pembinaan kapasiti utama untuk usahawan teknologi serta pengkomersilan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Norhalim Yunus, berkata akademi latihan itu bertujuan mengurangkan kadar kegagalan perniagaan dalam kalangan usahawan, terutama usahawan teknologi.

"Dengan semua program pemupukan dan khidmat nasihat yang ditawarkan MTDC, sudah tiba masanya untuk kami menyatukan usaha kepada hab pembangunan kapasiti berstruktur dan khusus untuk usahawan teknologi.

"Di bawah TENTRA, kami akan meningkatkan lagi tawaran melalui perkhidmatan pemadanan teknologi, termasuk skim penempatan untuk pensyarah dan penyelidik yang berhasrat untuk mendapat pemahaman industri mengenai pemindahan pengetahuan serta pengkomersilan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan TENTRA di sini, hari ini.

Norhalim berkata, TENTRA akan melengkapkan usahawan teknologi dengan kemahiran perniagaan, termasuk cara untuk memula, mengekal dan mengembangkan perniagaan.

"Akademi itu akan membantu membangun dan memupuk usahawan teknologi melalui ''Symbiosis'', iaitu program keusahawanan graduan MTDC dan membimbing serta mengembangkan syarikat lain yang menerima dana pada masa yang sama.

"Pelbagai program pembangunan akan dihasilkan melalui beberapa siri latihan bersemuka, mentoring dan sesi khidmat nasihat," tambahnya.

Pada majlis itu, MTDC juga bertukar memorandum persefahaman dengan tiga rakan kongsi pembelajarannya, iaitu Pusat Rangkaian Perusahaan Amalan Malaysia , RTI International and Innovation dan Persatuan Pengurusan Teknologi Malaysia.

Mengikut perjanjian berkenaan, MTDC berkata, rakan kongsi pembelajarannya akan bekerjasama dalam pembinaan kapasiti, latihan dan aktiviti lain untuk akademi terbabit. - BERNAMA

Berita Harian X