Rabu, 26 April 2017 | 8:49pm

Quayside perkenal rakan niaga utama


SEKITAR majlis memperkenalkan beberapa rakan niaga utama yang bakal beroperasi di pusat komersial Quayside, di pembangunan twentyfive.7 di Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Syarikat pemaju hartanah terkemuka, Gamuda Land hari ini memperkenalkan beberapa rakan niaga utama yang bakal beroperasi di pusat komersial Quayside, di pembangunan twentyfive.7 di sini.

Pengurus Besar Gamuda Land, Aw Sei Cheh berkata, antara rakan niaga terbabit adalah pawagam MBO, Restoran Tai Thong, Jaya Grocer, My DIY, B.bap, Caring Pharmacy, Guardian Pharmacy, Watson Pharmacy, Poliklinik Shaik dan Klinik Pergigian Ooi & Khor.

"Dengan keluasan 300,000 kaki persegi (27,871 meter persegi), Quayside sesuai untuk menempatkan 110 kedai runcit.

"Kami tidak bercadang untuk menjual unit kedai kerana kami ingin mengawal sepenuhnya hartanah ini.

"Pada masa sama, kami menyediakan penyewa yang memenuhi kehendak masyarakat di perbandaran itu," katanya pada majlis memperkenalkan penyewa Quayside, di sini, hari ini.

Selain kemudahan kedai dan restoran, Quayside turut menempatkan ruang dipanggil 'Designer District' untuk perekacipta serta syarikat baharu beroperasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata, Quayside akan siap dalam fasa pertama twentyfive.7 bagi memastikan penduduk mempunyai tempat untuk makan, membeli belah serta menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga di situ.

"Kami berterima kasih kepada semua rakan niaga yang menyertai kami di Quayside yang menjadikan twentyfive.7 destinasi hebat di kawasan ini. Saya pasti mereka semua teruja kerana kami amat mengalu-alukan mereka," katanya.

Chee Meng berkata, sebagai sebuah bandar sempurna dan berkualiti, pastinya ia dilengkapi dengan kediaman, tempat kerja, taman beriadah, pusat beli belah dan tempat makan.

60 dibaca
Berita Harian X