Rabu, 26 April 2017 | 8:51pm

MSU College bukti mampu hasil graduan berkualiti

PROFESOR Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Graduan Management & Science University (MSU) College yang mampu memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan membuktikan bidang pengajian yang ditawarkan relevan dengan keperluan semasa industri.

Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, sehingga hari ini, MSU College menerusi sepuluh kampus cawangan di seluruh Malaysia iaitu Shah Alam, Sentral, Ampang, Terengganu, Seremban, Sungai Petani, Sabah, Sarawak, Penang dan Kota Bharu berjaya melahirkan lebih daripada 20,000 graduan.

"MSU College diberikan penarafan enam bintang dalam pelbagai kategori berikutan pencapaian cemerlang dalam menyediakan pendidikan yang memenuhi kriteria serta piawaian ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, menerusi Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQuest) 2014/2015.

"Penganugerahan ini sebahagian daripada visi dan misi Kumpulan MSU College dalam memastikan kecemerlangan pendidikan pelajarnya dan komited dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)," katanya pada Majlis Anugerah Senarai Presiden Kumpulan MSU College di sini, hari ini.

Mohd Shukri berkata, seramai 919 pelajar di peringkat Diploma dan Sijil daripada 23 bidang pengajian disenaraikan, menerima Anugerah Senarai Presiden pada kali ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan 39 orang pelajar menerima Anugerah Khas Presiden yang menerima sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.

"Antara kriteria utama yang melayakkan mereka menerima anugerah ini ialah mengekalkan purata nilai gred kumulatif (PNGS) 3.75 ke atas untuk tiga semester berturut-turut, aktif dalam bidang akademik dan kokurikulum serta penonjolan sikap positif," katanya.

Sementara itu, pelajar Diploma Teknologi Makmal, P Keethanjeli, 22, iaitu antara 39 penerima Anugerah Khas Presiden, semalam berkata, beliau memperolehi keputusan PNGS 4.0 untuk lima semester manakala satu lagi semester beliau mendapat keputusan 3.9.

"Cara saya belajar seperti pelajar lain tetapi saya tidak suka belajar di rumah kerana ia tempat untuk saya menghabiskan masa bersama keluarga, makan dan tidur," katanya yang kini sedang mengikuti latihan praktikal di Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, graduan Diploma Teknologi Makmal, Muhammad Farid Md Aminin, 26, berkata, bantuan pensyarah dan belajar secara berkumpulan dengan rakan sekuliah menjadi kunci utama kejayaan beliau dalam pelajaran sehingga terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Presiden.

"Saya memang pelajar aliran sains sejak di sekolah lagi kerana saya sangat minat bidang sains. Belajar jadi seronok jika kita minat apa yang dipelajari," katanya.

Berita Harian X