Khamis, 27 April 2017 | 12:41pm

Alumni tertua hadir program Jejak Alumni Ilmu Khas


Datuk Teo Teik Lee

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Specialist Teachers Training Institute (STTI), Datuk Teo Teik Lee adalah antara 400 alumni mengesahkan kehadiran pada program Jejak Alumni Ilmu Khas di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), di sini, malam esok.

STTI adalah nama lama IPGKIK, selain Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) serta Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK) dan Teik Lee adalah antara pensyarah terawal berkhidmat di institusi keguruan yang dibuka pada 1959. Seorang lagi alumni veteran adalah M Nadarajah, 81, yang menjadi antara kakitangan terawal.

Pertemuan alumni itu julung kali diadakan yang menggabungkan semua bekas Pengarah, Timbalan Pengarah, pensyarah, pekerja dan pelajar bermula 1959 hingga sekarang.

Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohd Ali, berkata pada malam itu juga diadakan pelancaran Alumni Ilmu Khas secara rasmi dengan Penjenamaan semula alumni seiring keperluan dan sijil pendaftaran yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada pada 23 Mac lalu.

IPGKIK memulakan pengambilan guru pelatih pertama seramai 40 orang pada Ogos 1959 serta kampus itu dirasmikan pada 8 Jun 1960 oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Abdul Rahman Talib.

37 dibaca
Berita Harian X