Khamis, 27 April 2017 | 1:09pm

Reman pengasuh kes bayi meninggal disambung 6 hari

SUSPEK kes kematian seorang bayi lelaki Muhammad Syahmi Naufal disambung reman enam hari di Mahkamah Majistret Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Mahkamah Majistret, di sini, sebentar tadi, membenarkan tempoh reman ke atas pengasuh wanita disambung bagi siasatan kes kematian seorang bayi lelaki, minggu lalu.

Majistret Suhaima Mohd Noor membenarkan lanjutan reman bermula esok hingga Rabu ini ke atas tertuduh, 36, selepas dipohon pihak polis berikutan reman tujuh hari ke atasnya berakhir hari ini.

Mangsa, Muhammad Syahmi Naufal Muhammad Adam Tham, meninggal dunia pada jam 6.30 pagi Khamis lalu, selepas hampir 24 jam tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Sehari sebelum kematian mangsa, ibunya, Robaah Sulaiman, 30, menghantar anaknya itu ke rumah suspek di Taman Meru, pada jam 7 pagi dalam keadaan sihat.

Suaminya, Muhammad Adam Tham Abdullah, 30, kemudian menerima panggilan daripada pengasuh terbabit memaklumkan bayinya berada dalam keadaan lemah.

Mangsa dihantar ke klinik berhampiran dan kemudian dirujuk ke HRPB.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada seorang doktor wad kanak-kanak di hospital berkenaan memaklumkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Suspek ditahan di rumahnya di Taman Meru pada jam 11 pagi hari sama kematian mangsa.

Hasil bedah siasat bayi berkenaan mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Berita Harian X