Khamis, 27 April 2017 | 2:03pm

Operasi maritim 3 negara di Laut Sulu bulan depan


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - FOTO Aizuddin Saad

KOTA KINABALU: Operasi pemantauan bersama menerusi kerjasama maritim di Laut Sulu antara Malaysia, Filipina dan Indonesia dijangka dilancarkan di Banggao, selatan Filipina, bulan depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata lokasi baharu itu dipilih menggantikan lokasi asal di Sandakan yang sepatutnya diadakan bulan ini.

Beliau berkata, pelancaran itu akan disaksikan Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara sebagai tanda komitmen setiap negara dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan dan kemasukan anasir militan.

"Pemantauan bersama pasukan keselamatan tiga negara bertujuan membanteras jenayah rentas sempadan di perairan Laut Sulu seperti dipersetujui menerusi perbincangan yang dibuat sebelum ini.

"Kerjasama ini juga sebagai usaha mengekang penularan ancaman kumpulan militan Daesh di rantau ini," katanya selepas merasmikan penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur dan Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-83 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas, berkata pemantauan bersama di Laut Sulu penting bagi memastikan perairan negara terutama di pantai timur Sabah bebas ancaman kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

"Pemantauan bersama tiga negara ini mengambil kira pendedahan kumpulan Abu Sayyaf yang berikrar baiah dengan kumpulan militan Daesh. Oleh itu, kerjasama ini amat perlu bagi menghalang sebarang ancaman pengganas terutama di perairan Sabah," katanya.

Beliau berkata, selain kerjasama maritim, ketiga-tiga negara bersetuju melaksanakan kerjasama pertahanan udara, perisikan dan operasi bersama.

Terdahulu, Hishammuddin melancarkan Markas Pemerintah Armada Barat dan Timur TLDM yang masing-masing berpangkalan di TLDM Lumut dan TLDM Kota Kinabalu.

Beliau berkata, penubuhan kedua-dua markas itu bagi memastikan TLDM memberi tumpuan lebih berkesan dalam pemantauan perairan negara, khususnya di Selat Melaka dan Laut China Selatan di Semenanjung serta Laut Sulu dan Laut China Selatan di Sabah dan Sarawak.

Berita Harian X