Khamis, 27 April 2017 | 6:41pm

MPTN perluas Tonton ke pasaran antarabangsa

KAMAL (dua dari kiri) bersama Goh Seow Eng (dua dari kanan), Airin (kanan) dan Anurag Dahiya pada majlis menandatangani perjanjian antara Tonton dan Singtel di APOS 2017, Bali. - Foto Mahzir Mat Isa
KAMAL (dua dari kiri) bersama Goh Seow Eng (dua dari kanan), Airin (kanan) dan Anurag Dahiya pada majlis menandatangani perjanjian antara Tonton dan Singtel di APOS 2017, Bali. - Foto Mahzir Mat Isa

BALI: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) memeterai perjanjian kerjasama pemasaran strategik dengan Singapore Telecommunications Ltd (Singtel) yang menyaksikan penerokaan pertama Tonton di luar Malaysia.

Kerjasama itu sekali gus membuka lebaran baharu industri kandungan tempatan dalam memanfaatkan perkhidmatan kandungan over-the-top (OTT) terkemuka Malaysia itu sebagai gerbang ke pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan Lokal, Pelanggan Singapura, Singtel, Goh Seow Eng, berkata kehadiran Tonton dalam platform OTT popularnya, CAST, akan membantu syarikat menyediakan lebih 25,000 jam hiburan berbahasa Melayu untuk pelanggannya di Singapura.

Katanya, kandungan OTT seperti itu penting dalam strategi syarikat untuk mendekati pengguna dan memenuhi kehendak semasa mereka yang sentiasa mahukan tontonan kandungan premium merentasi semua peranti.

"Kami menjangkakan kandungan etnik yang tersedia dalam perkhidmatan Tonton akan mendapat sambutan tinggi daripada pelanggan CAST.

"Maka bermula bulan depan, Tonton akan mula ditawarkan menerusi aplikasi portal video CAST kami dipakejkan pada kadar istimewa, eksklusif untuk pelanggan Singtel," katanya pada sidang media di persidangan utama media, telekomunikasi dan industri hiburan Asia (APOS) 2017 di Bali, sebentar tadi.

Beliau sebelum itu memeterai perjanjian itu bagi pihak Singtel; manakala MPTN diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamal Khalid.

Turut hadir Pengarah Tonton, Perlesenan dan Pembarangan, Airin Zainul; dan Ketua Kandungan dan Jualan Pengiklanan Singtel, Anurag Dahiya.

Sementara itu, Kamal berkata, Tonton memiliki kandungan tontonan yang besar dan siaran langsung untuk pengguna di Singapura yang boleh disesuaikan mengikut kehendak, selain menawarkan kandungan khas untuk pasaran itu.

Katanya, antara siaran langsung ditawarkan adalah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Mentor Milenia; manakala drama popular pula termasuk Menanti Februari, Raisha dan drama tayangan eksklusif enam bulan sebelum siaran televisyen.

"Kerjasama seperti ini secara idealnya menunjukkan kemajuan teknologi datang dengan cabaran dan peluang yang membantu menyebarkan kandungan berkualiti Malaysia dalam hiburan dan pendidikan merentasi sempadan geografi," katanya.

Info:
Tonton Media Prima

  • Lebih 8.2 juta jam kandungan Tonton dilayari dalam tempoh kurang setahun
  • 200 peratus pertumbuhan langganan VIP Tonton bagi suku pertama 2017
  • 6.852 juta pelanggan Tonton setakat 18 April 2017
Berita Harian X