Jumaat, 28 April 2017 | 7:35am

Kehijauan landskap Taman Metropolis


MODEL KL Metropolis yang dibangunkan Naza TTDI sebagai sokongan menghijaukan bandar raya Kuala Lumpur. - Foto Rosela Ismail

NAZA TTDI Sdn Bhd, cabang hartanah bagi Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, menjadikan Taman Metropolis di KL Metropolis sebagai sokongan proaktif syarikat berkenaan dalam pelaksanaan inisiatif Kuala Lumpur (KL) lebih hijau pada masa depan.

Taman seluas 2.02 hektar itu kini dijadikan sebagai sebahagian daripada program proaktif tanggungjawab sosial korporat untuk memperkasa serta memelihara kawasan hijau di Lembah Klang.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin, berkata taman bandaran berkenaan bakal menjadi kawasan hijau bagi KL Metropolis.

Katanya, ia juga berperanan sebagai tempat peralihan serta sambungan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) kepada menara mercu tanda pada fasa ketiga dikenali sebagai MET 3.

"Bagi merealisasikan hasrat itu, Naza TTDI juga akan menanam kira-kira 300 pokok dan 10 spesis tanaman bunga berbeza di Taman Metropolis," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Naza TTDI akan menyelenggarakan taman bernilai RM20 juta itu dalam tempoh 15 tahun menerusi program penajaan itu.

Selain itu, Naza TTDI juga sudah menandatangani persetujuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah program kerajaan Kuala Lumpur Lebih Hijau (Greener Kuala Lumpur) iaitu sebahagian daripada inisiatif Greater Kuala Lumpur/Klang Valley.

Taman Metropolis direka sebagai tempat di mana pelawat boleh menikmati makanan dan membaca di bawah teduhan pokok seperti taman terkenal di seluruh dunia.

Kawasan rimbunan itu mempunyai pusat maklumat dan dewan komuniti berserta laman berbumbung berkeluasan 2,508.4 meter persegi.

Taman berkenaan terletak bersebelahan MITEC, komponen pertama di KL Metropolis berkeluasan 30.55 hektar dan juga pusat pameran terbesar di Malaysia.

Taman Metropolis juga adalah sebuah lokasi luar yang unik di Kuala Lumpur kerana mempunyai amfiteater, taman arca, stesen kecergasan kinetik, laluan joging, taman permainan dan air, kawasan perkelahan, taman berteres serta laman acara.

Info:

  • Taman Metropolis dijangka siap dan dibuka untuk kegunaan awam pada suku pertama 2018.
  • Selain MITEC, KL Metropolis terbahagi kepada 8 presint iaitu MET 1, MET 2, MET 3, MET 5, MET 6, MET 7, MET 8 and MET 9.
  • Projek pembangunan hotel mewah dalam KL Metropolis membabitkan pelbagai komponen antaranya pejabat strata, kondominium mewah dan menara mercu tanda dalam fasa ketiganya yang dikenali sebagai Met3.
  • Met3 mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.1 bilion.
31 dibaca
Berita Harian X