Jumaat, 28 April 2017 | 10:31am

Tingkatkan integrasi ekonomi ASEAN: PM

MANILA: Integrasi ekonomi negara ASEAN adalah prasyarat utama perlu dilaksanakan jika gagasan itu mahu menjadi pasaran dunia yang signifikan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Dalam keadaan ekonomi ASEAN bergerak jauh lebih pantas berbanding rantau lain di dunia, Perdana Menteri berkata, unjuran pertumbuhan AS$9.2 trilion menjelang 2050 bakal menjadikannya keempat terbesar di dunia.

Angka itu mengagumkan, kata Najib, namun banyak perlu dilakukan termasuk menurunkan tarif dagangan empat peratus seperti perangkaan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) pada 2015.


DATUK Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 hari ini. - Foto BERNAMA

"Usaha menurunkannya hingga mencecah sifar mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Kita perlu melipatgandakan usaha untuk membantu dagangan antara ASEAN."Kos perniagaan mesti diturunkan sekurang-kurangnya 20 peratus, selain melaksanakan langkah pemudah cara sebagai jendela tunggal ASEAN dan menyeragamkan prosedur kastam," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucap tama Sidang Kemuncak Kemakmuran Untuk Semua anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) di City of Dreams di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Najib berada di Manila bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-30.Perdana Menteri berkata, halangan bukan tarif (NTB) dan langkah bukan tarif (NTM) mesti diturunkan sebelum dihapuskan sepenuhnya demi memelihara kepentingan ASEAN menjadi antara kuasa ekonomi utama dunia.

24 dibaca
Berita Harian X