Jumaat, 28 April 2017 | 12:51pm

Tarik diri cerminan negatif demokrasi: Nik Abduh

KETUA Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (tiga kiri) bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi (dua kiri) hadir pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-58 hari di Kompleks PAS Kedah, Kota Semut. - Foto Sharul Hafiz Zam
KETUA Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (tiga kiri) bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi (dua kiri) hadir pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-58 hari di Kompleks PAS Kedah, Kota Semut. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, terkilan dengan amalan calon yang menarik diri daripada bertanding beberapa jawatan penting dalam kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) kali ini.

Walaupun bukan kesalahan, beliau mengakui senario itu memberi gambaran kurang elok seolah-olah amalan demokrasi sudah hilang dalam PAS.

"Saya akui ada (dalam kalangan calon) layak untuk menonjol dalam pemilihan kali ini, namun akhirnya memilih untuk menarik diri menyebabkan mereka yang bertanding untuk jawatan penting kini hanyalah 14 orang.

"Sepatutnya janganlah tarik diri, tetapi berilah peluang perwakilan sendiri yang memilih...saya bimbang kalau-kalau yang tak tarik diri itu pula yang rasa tak kena.

"Walaupun perkara ini bukanlah satu kesalahan, saya harap suasana ini bukan jadi amalan berterusan kerana ia dibimbangi menjejaskan suasana demokrasi dalam PAS, " katanya di sini tadi.

Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan Ketua Pemuda PAS pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-58 di Kompleks PAS Sarang Semut, di sini.

Pada masa sama, Nik Mohd Abduh berkata beliau berharap amalan demokrasi dalam PAS dapat diteruskan dengan sekurang-kurangnya 20 peserta boleh tampil bertanding pada pemilihan akan datang.

Pada pemilihan DPPP kali ini, tujuh calon menang tanpa bertanding untuk jawatan tertinggi diketuai Muhammad Khalil Abdul Hadi sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Jawatan lain yang menang tanpa bertanding termasuk Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Timbalan Ketua Pemuda dan Pemeriksa Kira-kira, manakala 12 lagi dipilih menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) DPPP.

Senarai penuh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sesi 2017-2019

* Pengerusi Tetap : Kamal Ashaari

* Timbalan Pengerusi Tetap: Dr Riduan Mohd Nor

* Ketua : Muhammad Khalil Abdul Hadi

* Timbalan Ketua : Ir Khairil Nizam Khiruddin

* Naib Ketua : Ahmad Fadhli Shaari

* Pemeriksa Kira-Kira : Mohd Shahir Abu Hassan dan Muhammad Ali Rajaie Jamaludin

* 12 Ahli Jawatankuasa

1 Afnan Hamimi Taib Azamuddin 538 undi

2 Ir Muhtar Suhaili As-Sarawaki 528 undi

3. Syahir Sulaiman 482 undi

4. Hazmi Dibok 476 undi

5. Hishamuddin Abdul Karim 543 undi

6. Izwan Abdul Halim 458 undi

7. Nurul Islam Mohamed Yusof 427 undi

8. Mohammad Arifiriazul Paijo 429 undi

9. Mohd Akmal Kamaruddin 462 undi

10. Mohd Hafez Sabri 506 undi

11. Nor Azariza Mohd Alawi 494 undi

12. Nazman Che Ibrahim 418 undi

Berita Harian X