Jumaat, 28 April 2017 | 1:38pm

Dua direman bantu siasatan penyelewengan PLKS

ANGGOTA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi dua lelaki (baju lokap), ejen urusan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk mendapat perintah reman di Mahkamah Georgetown, bagi membantu siasatan dipercayai menawarkan wang rasuah bagi kelulusan setiap permohonan PLKS. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: Dua lelaki direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kegiatan memperbaharui permit pekerja asing (PLKS) tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 46 dan 38 tahun itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Muna Maria Azmi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009. 

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai ejen MyEG Services Berhad (MyEG) dan kakitangan syarikat pembersihan di Butterworth, dipercayai menjalankan urusan yang menyalahi prosedur ditetapkan membabitkan proses memperbaharui PLKS.

Kedua-dua mereka dipercayai ditahan pegawai SPRM Putrajaya di pejabat masing-masing di Chai Leng Park dekat Butterworth, kira-kira jam 4 petang semalam.

Semalam, SPRM menahan 12 orang awam, termasuk dua wanita yang berperanan sebagai orang tengah atau ejen bagi pekerja asing dalam urusan memperbaharui permit pekerja asing.

Pembongkaran sindiket itu adalah satu usahasama SPRM dengan MyEG selepas mendapati wujudnya kegiatan rasuah dalam proses memperbaharui PLKS secara atas talian menerusi portal syarikat terbabit.

Seramai tiga individu ditahan di Selangor, dua di Pulau Pinang, tiga di Johor dan seorang di Perak.

Suspek berusia antara 33 tahun dan 50 tahun.

Berita Harian X