Jumaat, 28 April 2017 | 5:51pm

Baddrol harap serangan Kedah lebih tajam


BADDROL Bakhtiar. - Foto Hairul Anuar Rahim

ALOR SETAR: Pemain senior Kedah Baddrol Bakhtiar berharap Kedah mampu pertajamkan jentera serangan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA pertama menentang Terengganu di Stadium Darul Aman Ahad ini.

Beliau yang melakukan jaringan melalui sepakan bebas cantik pada minit ke-71 berjaya membawa pasukan Kedah bangkit menyamakan kedudukan dan mengutip satu mata dalam aksi Liga Super di Ipoh Rabu lalu.

"Saya harap kita mampu memberi penyudah lebih tajam di depan pintu gol nanti dan pastinya aksi kita kali ini perlukan fokus dan tumpuan yang lebih tinggi kerana aksi tentangan di peringkat separuh akhir Piala FA pastinya lebih sengit.

"Keserasian yang ditunjukkan jentera hadapan sudah menampakkan keyakinan apabila banyak percubaan serangan dilakukan namun hanya peluang menjelmakan gol tidak menjadi.

"Pemain juga sudah tampil dengan rentak lebih bersemangat pada perlawanan dengan Perak rabu lalu berbanding sebelum ini.

"Jadi saya berharap dengan taktikal dan perancangan yang diatur oleh jurulatih Tan Cheng Hoe pada separuh akhir pertama ini mampu meningkatkan prestasi semua posisi terutama ketajaman jentera serangan.

"Dua perlawanan dengan dua kekalahan dalam perlawanan lalu harus dijadikan panduan dan renungan untuk semua pemain agar kita mampu memperbaiki dan meningkatkan mutu permainan ke tahap keupayaan sebenar seperti sebelum ini."

"Kami mahukan aksi kebangkitan.. dengan semangat serta peluang melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini mampu melonjakkan lagi motivasi kami dan peluang ini harus kami manfaatkan sepenuhnya.

"Kami perlu lebih berhati hati dengan ancaman taktikal Terengganu dan elak melakukan kesilapan mudah disamping perlu kekal fokus sepanjang 90 minit dengan semangat juang yang tinggi.

"Apa yang perlu adalah kemenangan dengan bekalan selesa sebelum kami berkunjung ke Terengganu pada aksi separuh akhir kedua pada 13 Mei nanti di Terengganu," katanya.

Berita Harian X